ALOR SETAR – Dewan Muslimat Pas menggesa kerajaan agar segera menggubal Akta Anti Buli yang komprehensif bagi menangani gejala buli yang semakin membimbangkan di negara ini.
Wakilnya, Husna Hashim berkata, isu buli bukan lagi perkara remeh, sebaliknya merupakan bentuk kezaliman yang memberi kesan jangka panjang kepada mangsa serta berpotensi melahirkan penjenayah berulang dalam kalangan pembuli.
“Bayangkan anak-anak yang kita jaga dengan penuh kasih sayang di rumah, akhirnya dizalimi di sekolah dan masjid. Trauma yang dialami mangsa boleh berpanjangan seumur hidup,” katanya ketika membentangkan usul sempena Muktamar Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Selasa.
Menurut beliau, kelemahan peruntukan undang-undang sedia ada menyebabkan tiada mekanisme khusus untuk pencegahan, perlindungan mangsa dan garis panduan jelas kepada institusi pendidikan dalam menangani isu tersebut.
Beliau turut memetik laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan Malaysia berada di kedudukan kedua tertinggi di Asia dan keenam di dunia dalam kes buli siber, satu statistik yang disifatkan sebagai membimbangkan serta memalukan.
**media[3275174]**
“Ini bukan pencapaian yang boleh dibanggakan. Ia menunjukkan betapa seriusnya masalah buli di negara kita dan perlunya tindakan segera daripada pihak berwajib,” tegasnya.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat Pas mengemukakan enam cadangan utama kepada kerajaan, termasuk penggubalan Akta Anti Buli yang merangkumi definisi jelas bagi semua bentuk buli iaitu fizikal, mental, emosi, sosial dan siber serta perlindungan dan hak pembelaan mangsa.
Cadangan lain termasuk pengukuhan program kesedaran anti buli di sekolah, institusi pengajian tinggi, belia dan tempat kerja melalui kerjasama antara kementerian berkaitan; penubuhan saluran aduan khas yang mudah diakses dan selamat; serta mekanisme timbang tara di sekolah bagi menyelesaikan aduan pelajar secara harmoni.
Dewan itu turut mencadangkan agar semua sekolah berasrama penuh dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebelum sesi persekolahan 2026, selain menyokong inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam kempen anti buli melalui peruntukan khas daripada kerajaan.
“Islam menolak segala bentuk kezaliman. Menentang buli adalah tuntutan agama dan tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak boleh lagi berdiam diri. Keselamatan rakyat mesti dijamin dan maruah manusia perlu dipelihara,” katanya.