Siapa calon PM daripada Pas?

SHAH ALAM - Pengalaman dalam tempoh panjang sebagai Timbalan Presiden Pas disokong dengan imej sederhana, berhemah dan dihormati ahli serta masyarakat mampu meletakkan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pemimpin peralihan paling layak untuk diangkat dalam konteks sebagai calon Perdana Menteri daripada parti itu.

Penganalisis Politik, Mujibu Abd Muis berkata, Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula wajar diletakkan sebagai calon masa depan dengan potensi besar untuk memodenkan imej Pas manakala Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat lebih berperanan sebagai strategis politik yang mengukuhkan kedudukan parti dalam rundingan.

**media[3274757]**

Beliau menjelaskan, setiap daripada mereka mempunyai kekuatan, kelebihan kelemahan dan kekurangan masing-masing namun pencalonan Tuan Ibrahim dilihat mampu membawa citra kepimpinan ulama yang seimbang.

“Namun begitu kelemahan Tuan Ibrahim ialah karisma politik yang sederhana dan gaya konservatif mungkin kurang menarik perhatian pengundi muda.

“Peluang untuk beliau ialah menjadi tokoh kompromi dan simbol penyatuan dalaman parti terutama jika berlaku perebutan kepimpinan.

“Ancaman pula datang daripada kelompok generasi baharu yang mahukan kepimpinan lebih progresif dan mampu menawarkan pembaharuan di peringkat nasional,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mujibu menambah, dalam konteks individu lebih ‘layak’ untuk perspektif jangka panjang, Ahmad Samsuri dilihat sebagai pilihan yang lebih berdaya maju kerana mampu menjadi penghubung tradisi dengan keperluan politik baharu.

Mujibu berkata, Menteri Besar Terengganu itu boleh dianggap wajah baharu Pas kerana mempunyai kekuatan dari segi profil teknokratik, karisma segar serta rekod pentadbiran sebagai Menteri Besar yang stabil.

“Peluangnya sangat besar kerana boleh menjadi jambatan antara Pas dengan kelompok profesional, belia dan masyarakat bukan tradisi.

“Namun ancaman yang dihadapi ialah persepsi bahawa beliau mungkin terlalu muda untuk diangkat ke jawatan lebih tinggi, selain berdepan tentangan kelompok tradisional yang cenderung kepada kesinambungan kepimpinan ulama,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Mujibu, Takiyuddin pula dilihat lebih menonjol sebagai political operator dengan jaringan politik nasional yang kukuh serta kelebihan dalam bidang undang-undang.

Katanya, Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga terkenal sebagai tokoh yang petah berhujah menjadikannya sebagai antara kekuatan yang dimiliki.

Namun, Takyuddin mempunyai kelemahan karisma massa yang terhad dan ketiadaan imej ulama yang masih bernilai dalam tradisi Pas.