SUNGAI SIPUT - Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran tidak menolak kemungkinan parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN), namun menegaskan perkara tersebut masih terlalu awal untuk diputuskan.
Beliau menyifatkan pelawaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ibarat proses ‘merisik’ dan MIC akan meneliti dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Kemungkinan kot. Ini sebelum meminang, bukan perkara kecil dan saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ia harus diperhalusi.
"Keputusan akan diambil dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Perjumpaan Semula Pemimpin Wanita Veteran MIC Perak di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di sini pada Isnin.
**media[3274673]**
Beliau menegaskan, meskipun tidak berada dalam jalur pentadbiran politik yang sama, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan musuh kepada MIC.
"MIC pernah bekerja dengan kepimpinan kedua-dua parti ini dan tidak pernah ada masalah. Ini berbeza dengan UMNO dan DAP yang dahulu bermusuhan, tetapi akhirnya dapat bekerjasama," katanya.
Tuan Ibrahim sebelum ini dilapor mengalukan-alukan penyertaan mana-mana parti politik termasuk MIC dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat bersama gabungan itu.
Malah beliau memberi jaminan, kedudukan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang memiliki kira-kira 78,000 ahli tidak terjejas sekiranya MIC diterima menjadi parti komponen PN.
Mengulas tuntutan penjelasan bertulis kepada Barisan Nasional (BN) susulan tindakan Timbalan Ketua Pemuda MIC hadir ke perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Armada Bersatu, Vigneswaran menegaskan isu berkenaan adalah urusan dalaman BN dan tidak wajar ditafsirkan secara berlebihan.
Katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan tersebut dan sewajarnya untuk MIC memberikan jawapan.
"Kita akan tunjuk sebab. Beliau (Ahmad Zahid) minta kita, jadi kita kena bercakap dengan dialah, bukan bercakap dengan media," katanya.
Ditanya mengenai pertemuan beliau bersama kepimpinan MIC dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu, Vigneswaran memaklumkan, ia hanyalah kunjungan hormat.
“Datuk Seri Najib adalah seorang pemimpin yang disanjung tinggi oleh masyarakat India dan juga MIC. Pertemuan itu dibuat demi menghormati beliau ketika menerajui negara.
"Apa yang dibincangkan biarlah kami simpan di hati," jelasnya.
Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menggambarkan perjumpaan itu sebagai isyarat MIC bakal mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada BN.
“Itu tidak benar. Kalau ada hal berkaitan BN, saya kena cakap dengan Datuk Seri Zahid, bukan dengan Datuk Seri Najib,” katanya.