ALOR SETAR - Pas disaran menawarkan kerusi yang berpotensi menang kepada calon Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) dalam pilihan raya umum akan datang dalam usaha meluaskan sokongan parti itu.
Naib Ketua DHPP Pusat, Datuk K Deepakaran berkata, ini akan menjadi bukti Pas benar-benar serius mengangkat suara masyarakat bukan Islam ke arus perdana.
Menurutnya, langkah tersebut akan menambah keyakinan pengundi bahawa Pas bukan sahaja parti untuk orang Islam, tetapi parti untuk semua rakyat Malaysia.
“Sebagai bukan Islam dalam Pas, kami di DHPP yakin peranan kami bukan sekadar simbolik, tetapi sebagai benteng perpaduan.
"Kehadiran kami adalah bukti nyata Pas mampu menawan hati rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas bertemakan ‘Menjamin Kestabilan dan Keharmonian Kaum’ di Kompleks Pas Kedah pada Isnin.
Beliau berkata, slogan ‘Pas for all’ perlu dijadikan wadah nasional dan tidak boleh hanya sekadar slogan kempen, sebaliknya menjadi realiti perjuangan.
“Dengan membawa agenda adil dan inklusif, Pas akan diyakini bukan sahaja di kalangan orang Islam, tetapi juga oleh masyarakat India, Cina, Orang Asli dan semua kaum,” ujarnya.
Menurutnya lagi, DHPP juga ingin mengingatkan kepimpinan parti di semua peringkat agar berhati-hati dalam menggunakan bahasa yang boleh menggores hati mana-mana pihak.
“Rakyat Malaysia mahukan politik yang mendamaikan, bukan yang memecahkan. Perpaduan dalam masyarakat majmuk tidak lahir secara automatik. Ia memerlukan usaha berterusan, penuh hikmah dan kesungguhan.
“Menyulam perpaduan bermaksud kita mengikat benang yang berbeza warna, corak dan tekstur menjadi kain yang indah dan kukuh,” katanya.
Tambah beliau, DHPP turut menyambut baik cadangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan pengajaran bahasa Tamil dan Mandarin di Sekolah Kebangsaan sebagai langkah berani untuk memupuk perpaduan.
“Cadangan ini bukan bersifat retorik politik, tetapi usaha ikhlas mewujudkan kebersamaan dalam sebuah negara berbilang bangsa. Jika Pas dan Perikatan Nasional (PN) menerajui Putrajaya, cadangan ini akan menjadi kenyataan,” katanya.
Ketua DHPP Selangor itu berkata, DHPP juga menyokong cadangan Dewan Pemuda Pas yang mencadangkan seorang Perdana Menteri daripada Pas.
“Bagi kami, sebagai bukan Islam, ini bukan satu kerisauan. Kami yakin seorang Perdana Menteri daripada Pas boleh memimpin negara dengan lebih adil, telus dan berintegriti.
“Segala cadangan dan gagasan yang Presiden Pas bawakan bukan retorik politik, tetapi janji ke arah Malaysia yang stabil, harmoni dan sejahtera untuk semua,” katanya.
Tambah beliau, DHPP mahu melihat Pas terus mara sebagai parti masa depan untuk semua rakyat Malaysia.
“Dengan memberikan ruang kerusi yang mampu menang, memperkasakan slogan Pas for all, mengelakkan istilah yang menggores hati, melaksanakan cadangan pendidikan adil dan bersifat inkusif, serta menjamin keadilan pendidikan tinggi, Pas akan dilihat sebagai parti yang menjamin kestabilan dan keharmonian kaum.
“DHPP akan terus menjadi jambatan penyatu rakyat Malaysia. Kami yakin bersama Pas, kita akan membina sebuah negara yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk semua,” katanya.