Pas yakin calon muslimat mampu tambah kerusi Parlimen pada PRU16

ALOR SETAR - Pas optimis bahawa penyertaan lebih ramai calon muslimat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mampu meningkatkan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, calon muslimat sebenarnya tidak pernah kurang, malah saban tahun ramai diketengahkan.

Namun katanya, cabaran utama ialah mendapatkan sokongan pengundi.

“Muslimat bukan tidak ada calon, tiap tahun calon ramai. Masalahnya orang tak undi. Walaupun begitu, sudah banyak muslimat kita berada di Parlimen. Jadi yang penting ialah kesedaran rakyat untuk mengundi lebih ramai calon muslimat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh menegaskan, sayap parti itu akan terus menghantar calon wanita pada PRU16, sama ada mengikut kuota sedia ada atau dengan penambahan baharu.

“Calon wanita tetap akan dihantar, namun akhirnya parti yang membuat keputusan. Harapan kita agar ada penambahan calon muslimat pada PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya, strategi bersepadu antara Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda sentiasa digerakkan bagi menarik golongan muda mengundi Pas.

“Muslimat memang ada jawatankuasa pengundi muda dan kita selalu berbincang dengan Dewan Pemuda untuk mengatur langkah terbaik,” ujarnya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Nuridah menekankan bahawa Dewan Muslimat Pas bersedia menggalas cabaran lebih besar dalam PRU16 berdasarkan senario pengundi semasa.

“Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 50.17 peratus pengundi berdaftar adalah wanita berbanding 49.83 peratus lelaki. Muslimat Pas perlu berperanan aktif menjelang PRU16.

“Muslimat perlu terus melangkah lebih jauh dan berstrategi membina jaringan dengan pelbagai segmen masyarakat biarpun peranan wanita dalam politik semakin mencabar,” katanya.

Menurutnya lagi, muslimat bukan sekadar penyokong di belakang tabir, sebaliknya telah menjadi tulang belakang gerakan, penggerak masyarakat dan pencorak suara rakyat dalam setiap siri pilihan raya.

“Pengalaman calon muslimat yang pernah menang membolehkan suara wanita dan rakyat dibawa dengan matang sama ada di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dalam menuju PRU16, kita mesti melangkah lebih jauh dengan membina jaringan bersama pelbagai segmen masyarakat. Muslimat mesti tampil sebagai negarawan, ejen perubahan dan pembawa mesej Islam dengan hikmah, tegas namun penuh kasih sayang,” jelasnya.