PRU16: Mursyidul Am saran negeri SG4 bertanding guna logo Pas

ALOR SETAR - Negeri-negeri yang ditadbir Pas iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu disaran menggunakan logo parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, langkah tersebut bertepatan dengan kekuatan sebenar yang dimiliki parti itu pada masa ini.

Menurutnya, Pas bukan sahaja berkemampuan dari segi pentadbiran negeri, malah mempunyai keupayaan jentera parti yang mantap di semua peringkat.

“Hati kecil saya dari dulu memang kata begitu. Kalau boleh, empat negeri yang kita kuasai bertanding atas simbol Pas seperti yang dilakukan di Kelantan dan Terengganu sebelum ini. Tak ada masalah pun.

“Negeri lain nak guna logo Perikatan Nasional (PN) pun tak mengapa, tapi kita kena runding. Kalau boleh, itu yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-64 di Kompleks Maahad Darul Hadis, Kampung Tok Keling di sini.

Hashim turut melahirkan rasa gembira dengan penganjuran muktamar di Kedah kali ini kerana sambutan luar biasa.

“Biasanya mesyuarat ulama hanya dihadiri sekitar 300 perwakilan, tapi hari ini dewan penuh dengan lebih 600 orang. Pada Jumaat, Pemuda Pas pula lebih 700 perwakilan hadir. Ini bukti kekuatan kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hashim turut menyokong usul Dewan Pemuda Pas agar parti itu diberi peluang memimpin PN dan mentadbir negara.

Katanya, hasrat tersebut pernah disuarakan dua tahun lalu sebagai langkah mengangkat peranan Pas ke tahap lebih tinggi dalam landskap politik nasional.

“Pas perlu tampil dengan calon Perdana Menteri yang berpandukan prinsip dan sistem Islam. Kita bukan sekadar mahu menang, tapi mahu memimpin dengan nilai,” tegasnya.