Ramai tokoh Pas layak jadi calon PM - Mohd Amar

ALOR SETAR - Pas mempunyai ramai tokoh berwibawa yang layak diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya diperlukan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perkara tersebut tidak wajar dipertikai kerana Pas kini memiliki 43 Ahli Parlimen yang berkelayakan.

Menurutnya, biarpun begitu, Pas tidak perlu gopoh menamakan calon Perdana Menteri kerana keutamaan kini adalah memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) terlebih dahulu.

“Kenapa kata Pas tak ada calon Perdana Menteri? Saya sendiri boleh jadi Perdana Menteri, apa masalahnya. Kita ada ramai tokoh, takkan seorang pun tak ada yang layak. Itu tidak masuk akal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Sabtu.

Mengulas cadangan Dewan Pemuda Pas yang menamakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon Perdana Menteri daripada parti itu, Mohd Amar menyifatkan ia sekadar pandangan dan masih tertakluk kepada keputusan parti di peringkat pusat.

“Pemuda ada pandangan, kita bagi kebebasan. Tetapi keputusan muktamad tetap dibuat oleh parti. Calon Perdana Menteri atau Menteri Besar, parti hanya boleh cadangkan dan ia bukan ditentukan oleh parti semata-mata, sebaliknya perlu perkenan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan. Perlu hormati sensitiviti itu,” ujarnya.

Beliau menegaskan, disebabkan itu Pas tidak pernah menampilkan ‘poster boy’ sama ada di peringkat negeri mahupun pusat kerana fokus utama ialah memenangi pilihan raya terlebih dahulu sebelum memutuskan jawatan tertinggi kerajaan.

“Kalau kita pandai-pandai tengok seperti berlaku di Johor, orang sebut poster boy orang lain, tiba-tiba yang naik jadi Menteri Besar orang lain.

“Jadi bagi kami, kita tak perlu gopoh. Yang penting kita menang dahulu dengan majoriti yang cukup. Soal siapa dilantik Perdana Menteri, itu terpulang kepada keputusan selepas itu,” katanya.

Mengulas usul Dewan Pemuda Pas yang mahu parti itu mengetuai Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan, Mohd Amar menegaskan ia sebahagian daripada proses demokrasi.

“Pandangan itu adalah hasrat mereka, kita hormati. Itulah demokrasi. Kalau semua orang tak boleh bersuara, apa gunanya demokrasi. Muktamadnya tetap dibuat di peringkat Pusat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menolak persepsi kononnya PN sedang berpecah, sebaliknya menegaskan hubungan parti komponen dalam gabungan itu kekal kukuh.

“Orang luar kalau kita berjalan sambil pimpin tangan pun dia kata nak bercerai. Jadi kita tak perlu layan sangat persepsi,” katanya.