SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menegaskan bahawa kenyataannya sebelum ini bukan bertujuan untuk menyucikan Pas, sebaliknya hanya mahu menyelamatkan Barisan Nasional (BN) yang dakwanya sedang cuba dikuburkan dan digantikan dengan 'UMDAP'.
Beliau mendakwa, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi cuba mengelirukan maksud sebenar kenyataannya mengenai sikap Pemuda UMNO dan Pas.
"Sejak bila pula saya menyucikan Pas? Saya cuma menunjukkan bahawa Pemuda Pas kebelakangan ini lebih berhemah daripada Pemuda UMNO. Ada tak saya bawa cerita dulu-dulu ketika saya lantang menentang 'resolusi' yang hendak dibawa ke Perhimpunan UMNO untuk menutup sekolah vernakular?
"Tetapi yang UMNO cuba sucikan ialah DAP... itu eksplisit (dinyatakan dengan jelas) dan pasti! Ramai ahli serta akar umbi UMNO tidak bersetuju dengan percubaan yang terang-terangan mahu mensucikan DAP," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.
Lian Ker berkata demikian bagi membidas kenyataan Puad yang mendakwa beliau cuba menyucikan Pas berdasarkan temu bual bersama portal Malaysiakini.
Dakwanya, Puad menunjukkan kejahilannya dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Malaysia apabila membuat dakwaan yang tidak berasas.
"Bahasa yang saya gunakan dalam temu bual ialah ‘Former MCA Vice-President, Ti Lian Ker says UMNO Youth chief Dr Akmal Saleh’s contemporaries in Pas seem more rational than him’.
"Abang Puad! Jangan malas ‘Google’ kalau tak faham. Cuba semak maksud ‘contemporary’ dan ‘seems’," tegasnya.
Katanya, perkataan 'contemporary' membawa beberapa maksud seperti moden, semasa dan sezaman, manakala 'seems' pula bermaksud seakan-akan.
"Faham, Abang Puad? Jangan melatah. Tunjukkan kematangan dan berpegang kepada topik," tambahnya.
Lian Ker turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah diminta mengulas isu melibatkan kes Zara Qairina Mahathir seperti yang dibangkitkan oleh Puad, malah menyokong banyak kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak lain.
"Tak perlulah saya tokok tambah. Itu Puad, bukan saya," katanya.