SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan kesediaannya untuk hadir ke Ibu Balai Polis (IPD) Dang Wangi pada malam ini bagi memberi keterangan berhubung perarakan dan demonstrasi di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.
Dr Muhamad Akmal berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut ketika dihubungi oleh pegawai penyiasat daripada IPD Bukit Aman.
“Saya telah dihubungi oleh pegawai penyiasat dari Bukit Aman untuk hadir memberikan keterangan pada malam ini jam 11 malam di IPD Dang Wangi Kuala lumpur.
“Saya akan beri kerjasama sebaik mungkin kepada pihak polis.
"Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk pertahankan maruah negara ini, saya rela dan akan lawan habis-habisan,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 500 ahli dari UMNO, Pas dan Bersatu mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Pada Jumaat, Sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap Dr Muhamad Akmal berhubung perarakan di depan sebuah kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan terbabit dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.