DAPSY Pulau Pinang gesa putus kerjasama politik dengan Dr Akmal Saleh

GEORGE TOWN - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan semua bentuk hubungan kerjasama politik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

DAPSY Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, gelagat Muhamad Akmal yang didakwa semakin melampau dalam berpolitik kini menjadi ancaman kepada keharmonian nasional dan kedaulatan undang-undang.

“Tindakan Akmal yang secara terbuka mengugut pendakwa raya dan mengadakan himpunan susulan adalah pencabulan serius terhadap undang-undang negara.

“Perbuatan ini bercanggah dengan pendirian Kerajaan Perpaduan yang meraikan kepelbagaian dan secara sengaja merancakkan sentimen perkauman, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menjaga kestabilan negara,” katanya pada Jumaat.

DAPSY Pulau Pinang turut membangkitkan isu apabila Pemuda UMNO Terengganu dan Pas sebelum ini menggunakan versi bendera yang salah, namun Muhamad Akmal didakwa memandang ringan perkara tersebut.

DAPSY Pulau Pinang juga menyifatkan tindakan Muhamad Akmal dalam isu bendera kali ini berbaur kebencian terhadap kaum lain, selari dengan naratif perkauman pembangkang.

“Walaupun UMNO sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, beliau seolah-olah menjadi alat Perikatan Nasional untuk mencipta masalah dan menggugat pentadbiran kerajaan,” katanya.

Menurut DAPSY Pulau Pinang, pelanggaran Akta Bendera sepatutnya disiasat pihak berkuasa, bukannya dijadikan alasan untuk ahli politik bertindak sebagai ‘polis moral’ dan bersikap samseng.

“Slogan patriotisme yang sering dilaungkan Muhamad Akmal hanya modal politik murahan demi kepentingan peribadi.

“Apabila ahli politik dibenarkan bertindak di luar kerangka undang-undang sambil menghasut kebencian kaum, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang menakutkan rakyatnya sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, DAPSY Pulau Pinang menegaskan akan terus mempertahankan kedaulatan undang-undang, maruah dan keselamatan setiap rakyat Malaysia.

Terdahulu, kira-kira 500 ahli dari UMNO, Pas dan Bersatu mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Kumpulan tersebut yang diketuai Muhamad Akmal berkumpul di tapak Pasar Malam Pekan Kepala Batas sebelum berarak sehingga ke Jalan Bertam Perdana.

Mereka berarak kira-kira 15 minit sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan “pertahan Jalur Gemilang”.

Bagaimanapun, perhimpunan itu menjadi kecoh apabila sekumpulan individu yang diketuai peguam dan Pengarah Lawyers for Liberty Malaysia, Zaid Malek, memegang beberapa kad antaranya bertulis “Jangan Bersikap Zionist” dan “Jangan Buli”.

Namun, tiada tangkapan atau insiden tidak diingini berlaku selepas perhimpunan itu bersurai kira-kira setengah jam berkumpul di kawasan berkenaan.