'Gila!' - Farhash nafi terlibat dalam serangan anak Rafizi

SHAH ALAM – Usahawan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawat jawatan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu menyifatkan tuduhan tersebut sebagai “gila”.

Sebelum ini, Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis memberi jaminan bahawa siasatan insiden serangan fizikal terhadap anak bekas Menteri Ekonomi itu akan dilakukan secara telus dan rapi.

Terdahulu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi percaya serangan terhadap anaknya mempunyai kaitan dengan pertemuannya bersama sekumpulan pemberi maklumat (whistleblower) mengenai satu skandal kewangan.

Beliau berkata, tindakan tersebut juga merupakan amaran dan usaha untuk menutup mulutnya daripada terus membongkar perkara berkenaan.

Malah, ketika ditanya sama ada skandal itu mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik, Rafizi menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, serangan berlaku ketika anak dan isteri Rafizi baru memasuki kereta untuk beredar dari sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sebelum anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di pusat beli-belah berkenaan.