SHAH ALAM - Sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung perarakan dan demonstrasi di depan sebuah kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan terbabit dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, laporan polis turut dilakukan di bawah seksyen-seksyen baharu untuk menangani buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan 507C Kanun Keseksaan.
"DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan Muhamad Akmal Saleh mengetuai perarakan dan demonstrasi itu walaupun amaran dari Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang telah diberikan supaya tidak ada sebarang perhimpunan diadakan.
"Tindakan tersebut merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga tersebut walaupun siasatan masih dijalankan dan beliau telah memohon maaf terhadap kesilapan pemasangan bendera," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, kira-kira 500 ahli dari UMNO, Pas dan Bersatu dilaporkan mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam, Kepala Batas, sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Kumpulan yang diketuai Muhamad Akmal itu berkumpul di tapak Pasar Malam Pekan Kepala Batas sebelum berarak sehingga ke Jalan Bertam Perdana.
Anthony Loke berkata, tindakan Muhamad Akmal tidak mengendahkan amaran pihak polis juga adalah satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut sehingga mereka terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal.
Beliau turut berpandangan, perbuatan seperti itu adalah melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia, sekali gus hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti itu.
"Saya sekali lagi menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan. Akan tetapi, perbuatan mengugut dan membuli serta menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu berkenaan," ujarnya lagi.
Sementara itu, Akmal memaklumkan kesediaan beliau untuk memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa susulan laporan polis dibuat berhubung perarakan tersebut.
"Hendak lapor polis? Bring it on, saya sedia untuk berikan kerjasama. Untuk takut kepada kamu?? Tidak sama sekali!," katanya dalam satu hantaran Facebook sebagai mengulas kenyataan Anthony Loke.
Beliau memberitahu, parti terbabit ketika menjadi pembangkang sebelum ini juga terus berhimpun meskipun lebih banyak arahan dan nasihat diberikan pihak polis.
"Jadi, itu pun boleh didakwakah kerana melanggar arahan ketua polis?? Siap kereta terbalik dan pijak gambar muka pemimpin kerajaan lagi ketika itu," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, himpunan diadakan mereka dilakukan secara aman tanpa melakukan perbuatan provokasi seperti memijak gambar pemimpin parti itu.