'Saya tak pernah tolak blok Borneo, itu pembohongan!' - Muhyiddin

TAWAU – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan kononnya beliau merupakan pemimpin yang tidak menyokong blok Borneo seperti yang dilontarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyifatkan kenyataan Hajiji sebagai tidak berasas dan satu pembohongan semata-mata.

“Ada baru-baru ini satu kenyataan dikeluarkan. Kenapa dia (Hajiji) khianati kita, kononnya dia kata bahawa saya tidak sokong blok Borneo?

“Sejak bila saya kata saya tak sokong blok Borneo? Saya pun tak tahu siapa blok itu, kerana sejak awal-awal lagi saya sudah berada di Sabah ini,” katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Rakyat PN di sini, malam Jumaat.

Muhyiddin berkata, kehadirannya secara konsisten di Sabah sejak dahulu membuktikan komitmennya terhadap pembangunan dan kepentingan negeri itu.

“Kalau saya nak ceritakan satu masa yang agak lalu, ketika UMNO masuk ke Sabah, waktu itu sampai ke hari ini saya masih berada di Sabah kerana saya yakin bahawa Sabah ada keistimewaan, ada kekayaan muka bumi yang boleh digunakan untuk dibangunkan, untuk menjadikan Sabah ini negeri yang maju dan berjaya.

“Sejak bila saya katakan saya tak sokong Sabah ataupun tak sokong blok Borneo? Bohong," katanya.

Menurut Muhyiddin, episod ‘pembohongan’ itu menjadi petunjuk kepada rakyat Sabah bahawa sudah tiba masanya untuk membina semula kekuatan dan mengembalikan maruah negeri itu yang telah ‘terkorban’ akibat pengkhianatan.

“Ini satu situasi yang agak baik bagi kita untuk mengembalikan semula hasrat dan nawaitu rakyat Sabah yang terkorban oleh sebab pengkhianatan tadi.

“Waktu pilihan raya yang dikatakan akan tiba tidak berapa lama lagi. Kita sudah pun merantau ke banyak tempat dan akan terus merantau ke tempat-tempat lain, membawa risalah dan berita-berita serupa seperti ini,” katanya.

Jelas beliau, misi PN bukan sahaja untuk memimpin semula Sabah, tetapi juga menawan kembali Kerajaan Persekutuan daripada Pakatan Harapan (PH).

“Sudah sampai masa dan ketikanya kita kembalikan semula maruah kita. Kita bina kekuatan supaya Sabah kembali di bawah pimpinan kerajaan PN.

“Bukan sahaja Sabah, Persekutuan pun kita akan bina sebuah Kerajaan Pusat, bila mana Anwar turun,” tegasnya.

Sebelum itu, dalam Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Ahad lalu, Hajiji mendakwa terdapat pemimpin kerajaan terdahulu yang tidak menyukai blok Borneo.

Beliau berkata, perkara itu antara faktor yang mendorongnya menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Hajiji tidak menamakan individu terbabit, sebaliknya hanya merujuk secara umum kepada seorang pemimpin besar dalam Kerajaan Persekutuan sebelum ini.