PRN Sabah: Warisan tanding 73 kerusi, sedia calon berpotensi

SEMPORNA - Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan parti itu akan bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut beliau, Warisan juga telah bersedia sepenuhnya dengan barisan calon berpotensi yang menepati kriteria ditetapkan parti, termasuk kebolehmenangan dan komitmen terhadap perjuangan parti serta rakyat.

"Kita akan bertanding di 73 kerusi yang ada dan kita juga mempunyai potensi calon-calon yang ada cuma kita tunggu pengumuman.

"Calon yang boleh menang, calon yang tidak melompat dan calon yang perlu memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna, pada Jumaat.

PRN Sabah dijangka diadakan dalam masa terdekat susulan berakhirnya penggal pentadbiran semasa dan dalam beberapa siri kenyataan sebelum ini, Mohd Shafie berulang kali menyatakan hanya menjalin kerjasama dengan rakyat untuk PRN kali ini.

Bercakap mengenai kerjasama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu menafikan akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) seperti yang didakwa baru-baru ini.

"Sebenarnya kita tidak ada kerjasama, kadang-kadang banyak cerita. Dulu pun cerita kerjasama dengan UMNO lah, ini cerita baru PN lah, nanti cerita baru siapa lagi.

"Saya sudah nyatakan cukup jelas kita bekerjasama dengan rakyat yang ada di Sabah ini," tegasnya.

Sebelum itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap perpecahan politik yang semakin ketara di Sabah susulan kewujudan terlalu banyak parti di negeri ini.

Beliau berkata, keadaan itu berisiko menjadikan gelanggang politik di Sabah sebagai punca utama perpecahan dalam kalangan rakyat, malah menyifatkan jumlah parti politik yang wujud di negeri ini melebihi apa yang berlaku di negara-negara besar lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom mahupun Jepun.

"Di Sabah ada pelbagai parti termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

"Saya nasihatkan di peringkat negeri ini perlunya rakyat bersatu padu, jangan berpecah belah kerana menjadi kebimbangan saya gelanggang politik menjadi landasan perpecahan," katanya.