SHAH ALAM - Pengurangan tarif kepada 19 peratus merupakan kemenangan penting dalam diplomasi ekonomi negara yang sekali lagi membuktikan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihormati di pentas antarabangsa.
Ketua Penerangan, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danish Hairudin berkata, langkah itu bukan sahaja membuka ruang pasaran lebih luas untuk syarikat Malaysia, malah turut melonjakkan keyakinan pelabur asing terhadap daya saing industri negara.
Menurutnya, ia juga membuktikan kerajaan Madani tidak tunduk kepada tekanan luar sebaliknya berunding dengan prinsip dan strategi yang berpaksikan kepentingan rakyat.
"AMK menyambut baik kejayaan Kerajaan Madani dan kepimpinan Anwar dalam mengurangkan tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
"Lebih penting, tarif ini diturunkan tanpa negara perlu mengorbankan dasar-dasar penting seperti pelan transformasi industri, perlindungan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta agenda pembangunan hijau dan teknologi tinggi.
"Kami percaya kejayaan ini adalah manifestasi kepada perubahan budaya pentadbiran yang lebih profesional, fokus dan berpandangan jauh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat.
Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.
Tambah Danish, penurunan tersebut turut menunjukkan hasil daripada dasar yang konsisten, komitmen kepada reformasi struktur dan hubungan antarabangsa yang dimanfaatkan demi kemakmuran rakyat.
"AMK menyeru anak muda khususnya para usahawan, pengeluar dan pengeksport untuk mengambil peluang daripada keputusan ini. Gunakan ruang yang dibuka oleh kerajaan untuk menembusi pasaran global dengan lebih berani dan berdaya saing.
"Tahniah kepada Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Anwar dan semua agensi yang terlibat dalam usaha ini. Malaysia tidak lagi menjadi negara yang hanya bergantung pada nasib. Kita kini berdiri dengan kebijaksanaan dan kekuatan sendiri," katanya.