SHAH ALAM – Keputusan SIS Forum menggugurkan nama 'Islam' daripada jenama rasminya telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan umat Islam, termasuk persoalan terhadap piawaian penggunaan label Islam dalam pertubuhan lain.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan penjenamaan semula SIS Forum itu wajar dilihat sebagai usaha mengelakkan kekeliruan dan polemik berpanjangan dalam masyarakat Islam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pengawalan terhadap penggunaan nama Islam tidak boleh dilaksanakan secara reaktif dan pilih kasih.
“Jika SIS (Forum) digesa menggugurkan nama Islam atas alasan kekeliruan, bagaimana pula dengan pertubuhan lain yang menggunakan label sama tetapi mempamerkan akhlak bertentangan dengan nilai Islam seperti budaya fitnah, caci maki dan fahaman ekstrem?” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, terdapat pertubuhan politik dan NGO yang turut membawa nama Islam dalam jenama mereka, tetapi berulang kali terpalit dengan kelakuan yang mencemarkan imej Islam di mata masyarakat umum.
Menurut beliau, keputusan SIS Forum itu dibuat bukan atas arahan mahkamah, sebaliknya sebagai reaksi kepada tekanan berterusan termasuk daripada pihak istana, walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa 2014 tidak terpakai ke atas SIS Forum kerana ia merupakan entiti perniagaan.
“Keputusan mahkamah tidak menyentuh soal akidah tetapi aspek teknikal undang-undang. Namun isu ini telah mencetuskan persepsi bahawa SIS (Forum) mencabar fatwa, sedangkan Ketua Hakim Negara sendiri menegaskan ia bukan begitu,” katanya.
Jelas beliau, keputusan menggugurkan nama Islam itu seharusnya menjadi titik tolak kepada perbincangan lebih besar tentang bagaimana Malaysia perlu mengurus identiti Islam dalam ruang awam dengan adil dan berhemah.
Beliau turut menggesa supaya piawaian yang jelas dan telus ditetapkan bagi mengelakkan episod cabar-mencabar di mahkamah antara institusi agama dan masyarakat sivil daripada berulang.
“Perbezaan pandangan dalam ruang ijtihad harus dihormati selagi tidak menyentuh dasar akidah. Islam bukan hak eksklusif mana-mana kelompok, dan akhlak rahmah perlu diangkat dalam perbezaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa bukan semua pertubuhan perlu menggugurkan nama Islam, namun setiap kes perlu dinilai dalam konteks tersendiri dengan mengambil kira kemudaratan kepada umat dan negara.
“Islam perlu dilihat dari sudut isi dan amalan, bukan sekadar label. Sebagaimana kaedah fiqh menyebut, ‘pengajaran sesuatu itu bergantung kepada maksud dan isinya, bukan pada nama atau bentuk luarannya’,” katanya.