Isu karikatur: Ahmad Fadhli akan saman 2 pemimpin kerajaan

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan bahawa beliau akan memulakan prosiding saman terhadap dua pemimpin kerajaan berhubung isu tular karikatur beruk yang dikaitkan dengannya.

Beliau berkata, isu berkenaan dilihat sudah semakin reda namun bahan-bahan bukti berkaitan kes tersebut telah banyak dikumpulkan.

“Nampak isu sudah semakin reda. Bahan-bahan pun sudah banyak dikumpulkan. Jika ada lagi, kita kumpulkan dahulu. Hari ini, mula uruskan surat tuntutan (LOD) untuk dua orang terlebih dahulu – seorang Ahli Parlimen dan seorang pimpinan sayap pemuda sebuah parti.

“Kerana sengaja sebarkan tohmahan atas pemahaman yang salah berkait hantaran di alamat https://www.facebook.com/share/p/1AufwWya6u/?mibextid=wwXIfr. Yang lain akan menyusul. Perlahan-lahan, satu-satu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Ahmad Fadhli didakwa menghina peranan rasmi Malaysia dalam usaha diplomatik meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja menerusi satu karikatur yang dimuat naik dalam hantaran di Facebooknya.

Hantaran tersebut memaparkan ilustrasi seekor monyet berjubah hakim yang digambarkan menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri simbolik yang dianggap sebagai sindiran biadab terhadap usaha murni kerajaan Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN.