KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai satu pelan pembangunan negara yang menyeluruh dan berimbang, dengan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat serta penerapan teknologi masa depan.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan termasuk komitmen memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI), memperluas pemilikan harta intelek tempatan serta memupuk literasi AI seawal peringkat rendah jelas menunjukkan hala tuju negara ke arah pembinaan ekonomi digital yang mampan.
“Kerajaan juga akan meningkatkan suntikan dana strategik serta menggalakkan kerjasama rentas sektor antara pemain industri, institusi penyelidikan, universiti dan inovator muda. Pendekatan menyeluruh ini diyakini dapat membangunkan ekosistem inovasi yang kukuh dan menjadikan Malaysia antara peneraju utama AI di rantau ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, Perdana Menteri turut menekankan betapa pentingnya pembangunan negara menitikberatkan nilai keseimbangan sejagat demi mewujudkan komuniti pertengahan.
“Nilai-nilai wasatiyyah seperti keadilan, kesederhanaan dan keseimbangan perlu dipupuk dan dikekalkan bukan hanya pada peringkat individu, malah dalam sistem pembangunan negara. Dalam konteks Islam, ia melambangkan umat yang moderat dan adil, sebagaimana digambarkan dalam al-Quran,” ujarnya.
Beliau berkata, pelbagai pengumuman dalam RMK13 termasuk pembinaan sejuta rumah mampu milik membuktikan komitmen kerajaan terhadap isu pemilikan kediaman rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
“Asas kebajikan rakyat bukan hanya terletak pada kejayaan projek mega, tetapi juga pada pembangunan sosioekonomi yang adil dan inklusif. Pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dan elektrik serta peningkatan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menangani kos sara hidup,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia kini berada di kedudukan ke-36 ekonomi terbesar dunia daripada 183 negara pada tahun 2024, menghampiri sasaran untuk berada dalam kelompok 30 teratas.
“Kedudukan daya saing negara turut menunjukkan peningkatan membanggakan dengan lonjakan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 pada tahun 2025, berbanding ke-34 pada 2024 dalam Laporan IMD World Competitiveness Yearbook,” jelasnya.
Tambah beliau, pencapaian itu adalah hasil daripada tadbir urus fiskal yang bertanggungjawab oleh kerajaan.
“Defisit fiskal yang mencatatkan 5.5 peratus pada 2022 berjaya dikurangkan kepada 4.1 peratus pada tahun lalu dan disasarkan menurun lagi kepada 3.8 peratus pada 2025. Ini akan memacu kejayaan RMK13 secara konsisten dan mampan,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak untuk memahami intipati RMK13 secara adil dan terbuka sebelum membuat sebarang penilaian.
“Saya menyarankan rakyat dan pihak berkepentingan agar melayari laman rasmi https://rmk13.ekonomi.gov.my/ bagi memahami keseluruhan perincian rancangan ini," ujarnya.