KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa pertandingan merebut jawatan dalam parti, termasuk jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, tidak akan menimbulkan perpecahan dalam Pas.
Menurut beliau, perpecahan hanya akan berlaku sekiranya pertandingan itu didorong oleh niat yang salah, termasuk cita-cita peribadi.
“Saya tengok begini, pecah atau tidak (parti) ini bergantung kepada tujuan bertanding.
“Kalau kita bertanding dengan tujuan yang baik, untuk beri sumbangan, maka soal menang atau kalah tidak penting.
“Tetapi kalau kita berlawan atas tujuan lain, ada cita-cita peribadi, memang akan berlaku perpecahan. Namun saya rasa perkara itu tidak akan berlaku dalam Pas,” katanya ketika diminta mengulas pandangan sesetengah pihak yang beranggapan bahawa pertandingan jawatan utama dalam Pas boleh menjejaskan kesatuan parti menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-71, September ini.
Sebelum itu, beliau merasmikan Karnival Kelantanku Cakna di Masjid Jamek Muhammadi di sini, pada Khamis.