SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengecam sekeras-kerasnya satu hantaran media sosial oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa menghina peranan rasmi Malaysia dalam usaha diplomatik meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Hantaran tersebut memaparkan ilustrasi seekor monyet berjubah hakim yang digambarkan menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri, simbolik yang dianggap sebagai sindiran biadab terhadap usaha murni kerajaan Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN.
Menurut kenyataan AMK Selangor, tindakan Ahmad Fadhli bukan sahaja memperlekehkan usaha diplomatik yang sedang dijalankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan, malah berpotensi mencemarkan imej negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Dalam suasana yang memerlukan kepercayaan dan diplomasi, tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini mencerminkan sikap tidak patriotik serta kurang kesedaran terhadap tanggungjawab negara sebagai ahli komuniti antarabangsa,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Kenyataan tersebut turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai mampu menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara jiran dan menyemai budaya politik kebencian dalam kalangan masyarakat, khususnya anak muda.
Sebagai respons terhadap penghinaan itu, AMK Selangor memaklumkan bahawa mereka telah membuat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Undang-undang perlu dikuatkuasakan bagi mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan maruah negara,” menurut kenyataan itu lagi.
AMK Selangor turut mengajak seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, untuk terus mempertahankan imej negara, menolak politik kebencian serta menghargai usaha kerajaan dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau terus terpelihara.