Wanita PN kecam pembatalan cukai barang bernilai tinggi

SHAH ALAM - Wanita Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan kerajaan membatalkan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (HVGT) yang disifatkan sebagai tidak berasas dan gagal mencerminkan keadilan fiskal sebenar.

Ketua Penerangannya, Nurul Syazwani Noh berkata, keputusan itu secara jelas menunjukkan ketidakseimbangan dasar kerajaan yang menindas rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, namun dalam masa sama memberi keistimewaan kepada kelompok kaya.

Menurut beliau, kerajaan seperti berpendirian membeli barangan dapur adalah aktiviti ekonomi yang wajar dikenakan cukai, tetapi pembelian barangan mewah bernilai puluhan ribu ringgit pula dikecualikan daripada sebarang beban fiskal tambahan.

"Kami ingin menegaskan ini bukan reformasi, sebaliknya pengkhianatan terhadap keperitan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, tegas beliau, kerajaan digesa melaksanakan semula HVGT secara menyeluruh dan progresif ke atas barangan mewah sebenar.

Selain itu, katanya, kerajaan juga diminta menyemak semula peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) agar tidak terus membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kami berharap kerajaan membangunkan dasar fiskal yang benar-benar adil, berpaksikan solidariti sosial dan pembelaan terhadap majoriti rakyat," tambah beliau.

Nurul Syazwani memberitahu, PN akan terus menjadi suara wanita dan keluarga tertindas, khususnya golongan suri rumah dan ibu yang berhempas pulas menguruskan keperluan asas keluarga dalam suasana ekonomi mencabar.

“Kami tidak akan berkompromi dengan dasar-dasar yang menjadikan wanita di dapur sebagai mangsa dan ibu-ibu di pasar raya sebagai sasaran kutipan hasil negara,” ujar beliau.

Beliau turut menyelar sikap kerajaan yang menurutnya gemar berselindung di sebalik slogan 'keadilan sosial' sedangkan tindakan mereka menunjukkan sebaliknya.

"Ketika bantuan tunai RM100 yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat susah turut dinikmati oleh golongan kaya, kini cukai barangan mewah pula dibatalkan secara rasmi.

"Persoalannya, apakah Kerajaan Madani masih berpihak kepada rakyat B40 atau semakin tunduk kepada kepentingan golongan kaya?

"Adakah prinsip keadilan sosial yang sering dilaungkan itu masih dikekalkan atau telah dikorbankan demi kelangsungan kuasa?” soal beliau.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa berkata, kerajaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan HVGT.

Pada awalnya, HVGT bakal dilaksanakan pada Mei 2024 dengan cadangan kadar cukai antara lima hingga 10 peratus.

Kerajaan mengunjurkan cukai itu akan menjana pendapatan tambahan tahunan sebanyak RM700 juta.