KUANTAN – Pas yakin rakyat Pahang bersedia memberikan mandat baharu kepada parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gelombang sokongan rakyat terhadap Pas dan PN di negeri ini semakin jelas serta menunjukkan peningkatan yang ketara.
“Perkembangan ini bukan sahaja dapat dilihat melalui kehadiran yang memberangsangkan dalam pelbagai program akar umbi, tetapi turut disokong oleh kajian bebas dan dapatan pemerhatian di lapangan.
“Bukan sekadar itu sahaja, kita juga dapat melihat bahawa rakyat semakin menolak apa sahaja cakap-cakap atau penjelasan daripada kerajaan dalam sesuatu isu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu, pola penolakan terhadap kerajaan Pahang pimpinan UMNO–Pakatan Harapan (PH) semakin ketara dalam kalangan pengundi muda, penjawat awam dan masyarakat luar bandar yang dilihat semakin kecewa dengan prestasi kerajaan campuran tersebut.
Ujarnya, situasi itu menyebabkan kerajaan negeri kini sedaya upaya cuba mewajahkan bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang kompeten.
“Walaupun menteri besar mengumumkan bahawa Pahang mencatat jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur, sepatutnya pelaburan tinggi mampu menjadikan rakyat Pahang menikmati taraf hidup yang lebih baik.
“Namun jika dilihat pada realiti, kerajaan negeri masih gagal menyelesaikan isu asas seperti kos sara hidup, tekanan ekonomi, peluang pekerjaan dan bekalan air di kawasan luar bandar yang menyebabkan rakyat berasa terpinggir.
“Apakah ini yang kerajaan negeri banggakan?” soalnya.
Tambahnya, rakyat kini sedar bahawa retorik reformasi yang dijanjikan kerajaan semakin hambar apabila dasar yang diperkenalkan lebih menjurus kepada keputusan populis tanpa penyelesaian jangka panjang.
“Malah, tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa Kerajaan Madani yang dibentuk daripada gabungan Pakatan Harapan dan UMNO gagal untuk menyantuni suara rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.
Menurutnya, Pas Teraju Pahang melalui Pas dan PN akan terus mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih jujur dan berprinsip, menawarkan solusi Islamik, dasar berpaksikan rakyat dan urus tadbir yang bersih.
“Keupayaan jentera Pas di kawasan dan cawangan menggerakkan dakwah, kebajikan dan advokasi membuktikan bahawa parti ini merupakan alternatif terbaik yang diyakini rakyat.
“Gelombang ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kepimpinan yang berintegriti, cakna dan berani mempertahankan hak serta kebajikan rakyat, selari dengan nilai-nilai Islam yang menjadi teras perjuangan Pas,” katanya.