Pas ajak rakyat tolak kemungkaran, pemimpin tidak adil

ALOR SETAR - Pas mengajak rakyat untuk menyatakan tentangan terhadap kemungkaran yang sedang berlaku dalam pentadbiran negara dengan menyertai himpunan Turun Anwar pada 26 Julai di ibu negara.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia merupakan tanggungjawab bersama dalam memastikan negara ditadbir dengan baik.

Menurutnya, pemimpin adalah amanah terbesar dalam Islam, bukan sekadar menjaga wang semata-mata, tetapi memimpin negara dengan adil dan berlandaskan ilmu seperti yang ditekankan dalam al-Quran dan sunnah.

“Amanah mengandungi semua tanggungjawab, paling besar adalah pemimpin dan menerajui negara. Bila urusan umat, rakyat dan urusan negara diserah kepada orang-orang yang tidak adil, kita berdepan masalah, ada rakyat yang sabar, ada yang tidak sabar.

“Disebutkan dalam al-Quran, antara yang tidak layak menjadi pemimpin ialah mereka yang bergantung kepada duit, bukan kepada ilmu, yang menipu dan meminta kehormatan serta kedudukan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti di sini pada Khamis.

Hadir sama, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut Abdul Hadi, apabila berlaku krisis ekonomi, penyelesaiannya bukan dengan meminta pinjaman daripada Bank Dunia semata-mata, tetapi menggunakan aset dalam negara serta dan ilmu kepakaran dimiliki pakar ekonomi tempatan.

“Kita lihat bagaimana penyakit wang membarah dalam parti politik dan jentera kerajaan, rasuah kerana mabuk duit. Bagaimana mahu selesai masalah rasuah jika pemimpin sendiri melakukan rasuah?” soalnya.

Beliau seterusnya mengingatkan rakyat supaya tidak menyokong pemimpin yang menipu rakyat untuk mendapatkan harta dan kuasa, serta meminta rakyat memilih pemimpin yang benar-benar amanah kerana ALLAH SWT yang menentukan siapa yang bakal menjadi pemimpin.

“ALLAH SWT yang menentukan siapa jadi pemimpin, rakyat pula memilih untuk siapa bakal jadi pemimpin,” ujarnya.

Abdul Hadi berkata, semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan dalam mencegah kemungkaran dalam pentadbiran negara.

“Kita sahut tanggungjawab besar untuk mencegah kemungkaran ini, kerana jika kita diam, bencana akan turun. Ini kewajipan besar untuk kita semua,” katanya.

Abdul Hadi tegaskan, perhimpunan pada 26 Julai bertujuan untuk menyatakan tentangan terhadap kemungkaran demi menyelamatkan negara dan masa depan rakyat di dunia mahupun akhirat.