PONTIAN – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menggariskan pendekatan inklusif menerusi konsep Malaysia untuk Sabah sebagai tawaran utama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, konsep itu dilihat lebih luas dan menyeluruh berbanding slogan 'Sabah for Sabahan'.
"Rakyat Sabah turut menyumbang kepada pembangunan negara serta berjaya membina kehidupan di negeri-negeri lain dalam Malaysia.
"Ramai antara mereka bekerja di Semenanjung dan memegang pelbagai jawatan penting. Sebagai contoh dianggarkan seramai 200,000 rakyat Sabah mencari rezeki di Johor," katanya.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Sejati Madani di Kampung Parit Pinang, Benut pada Jumaat.
Sebelum itu, Ahmad mengadakan lawatan ke empat bahagian UMNO di Lahad Datu, Semporna, Kalabakan dan Tawau bermula Selasa lalu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, seterusnya menyenaraikan kejayaan ramai tokoh dari Sabah dalam pelbagai bidang profesional termasuk pernah dilantik sebagai Peguam Negara, Menteri serta Timbalan Ketua Polis Negara.
Tambahnya, konsep Malaysia untuk Sabah lebih relevan untuk diketengahkan dan sesuai dijadikan antara tema utama kempen PRN akan datang.
“Malaysia untuk Sabah lebih luas dan lebih baik untuk rakyat Sabah. Malaysia untuk Sabah, ini tentunya boleh diterajui oleh parti yang bersikap lokal dan nasional.
"UMNO dan BN adalah parti yang bersifat lokal dan bersifat nasional. Kenapa UMNO dan BN ini bersifat lokal? Sebab kita sudah 34 tahun di sana. Itu sebab UMNO ini bersifat lokal.
"UMNO bersifat nasional dan BN berada di semua tempat,” katanya.
Beliau menyatakan jaminan menjaga kepentingan rakyat Sabah telah pun terbukti dilaksanakan oleh UMNO dan BN sejak sekian lama.
“Oleh itu, pada pandangan saya konsep ini amat sesuai untuk dijadikan salah satu tema kempen PRN," katanya.
Pada 12 Mei lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa slogan ‘Sabah untuk Orang Sabah’ tidak wajar diketengahkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurut beliau, slogan berkenaan tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan inklusi dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan seterusnya dilaporkan menafikan slogan `Sabah for Sabahan' (Sabah untuk Orang Sabah) sebagai satu tindakan berunsur penentangan terhadap Persekutuan.