KUANTAN – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad mempersoalkan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan, memandangkan Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan tidak berhasrat kembali menjawat jawatan tersebut.
Menurut beliau, bekas Perdana Menteri itu secara konsisten menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk kembali menjadi pemimpin nombor satu negara buat kali ketiga.
“Kita semua maklum, takkanlah bekas Perdana Menteri selama 22 tahun dan 22 bulan yang hilang deposit di Langkawi itu mahu dinamakan semula sebagai calon Perdana Menteri?
“Tun Mahathir sudah menyatakan bahawa beliau hanya mahu menjadi penasihat kepada kerajaan PN sekiranya gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.
“Jangan lupa, Tun kini merupakan Penasihat SG4 bagi empat negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak lagi berhasrat untuk memegang jawatan Perdana Menteri, sebaliknya hanya mahu memainkan peranan sebagai penasihat berikutan faktor usia dan keinginan untuk menyumbang pengalaman lebih 80 tahun dalam arena politik.
Mengulas lanjut, Wan Fauzuldin turut mempersoalkan keberkesanan peranan Dr Mahathir sebagai penasihat kepada empat negeri berkenaan.
“Jika keempat-empat negeri yang dinasihati oleh Tun pun gagal menunjukkan prestasi yang membanggakan berbanding negeri-negeri di bawah Kerajaan Perpaduan, adakah logik Tun mampu memacu kemajuan ekonomi negara jika sekadar menjadi penasihat di peringkat Persekutuan?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai individu yang akan dinasihati oleh Dr Mahathir dalam gabungan PN.
“Tun mahu menasihati siapa dalam PN? Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri 17 bulan yang memecat Tun daripada Parti Bersatu? Atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang? Atau Datuk Seri Hamzah Zainudin?
“Siapa sebenarnya calon Perdana Menteri daripada PN? Penasihat sudah ada, tetapi calon Perdana Menteri belum jelas,” ujarnya lagi.
Wan Fauzuldin berkata, selagi perkara itu tidak diperjelaskan oleh PN, tindakan mengadakan demonstrasi seperti 'Turun Anwar' adalah sia-sia kerana gabungan itu sendiri belum mempunyai calon kepimpinan yang meyakinkan untuk ditampilkan kepada rakyat.