ALOR SETAR – Perhimpunan Mandat Negarawan yang bermula di Alor Setar disifatkan sebagai titik permulaan kepada satu gerakan besar-besaran rakyat dengan membawa slogan ‘Turun Anwar’ bagi mendesak perubahan kepimpinan negara.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perhimpunan itu penting bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap situasi semasa negara yang menurutnya berada di ambang krisis akibat dasar dan program kerajaan yang menekan rakyat khususnya orang Melayu.
Menurutnya, sekiranya tiada langkah tegas dan berani diambil, negara akan mengalami kemerosotan ekonomi seperti yang berlaku di beberapa negara dunia ketiga dan rakyat terus terhimpit dengan kemiskinan.
“Masyarakat, khususnya orang Melayu, kini terancam dengan tindakan Kerajaan Perpaduan sama ada daripada segi dasar, rencana atau program yang dilaksanakan.
“Sejak awal pentadbiran lagi, tindakan mereka tidak memperlihatkan keprihatinan terhadap rakyat pasca pandemik Covid-19. Sepatutnya rakyat dibantu dengan pelbagai bentuk sokongan agar kehidupan lebih sejahtera, namun semua itu tinggal harapan,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti di sini pada Khamis.
Turut hadir, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Pengerusi Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhyiddin menegaskan bahawa rakyat telah memberikan peluang kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mentadbir negara, namun dasar-dasar yang diperkenalkan hanya menambahkan beban rakyat.
“Perikatan Nasional (PN) telah beberapa kali membangkitkan isu kemiskinan, pengangguran dan pendapatan rakyat di Parlimen, namun semua itu tidak diendahkan oleh Perdana Menteri dan kabinetnya,” katanya.
Beliau turut mengkritik tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas 6,000 kategori barangan demi menambah hasil negara sebanyak RM10 bilion yang disifatkannya sebagai langkah yang menindas rakyat.
“Anwar pernah berjanji menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam selepas menjadi Perdana Menteri, namun bukan sahaja tidak ditunaikan, malah subsidi dipotong dan harga melambung naik.
“Ramai orang Melayu dalam kumpulan B40 kini jatuh ke kategori B60 selepas pandemik. Dalam tempoh tiga tahun, hutang negara meningkat lebih RM250 bilion tanpa penyelesaian kukuh,” ujarnya.
Muhyiddin turut membangkitkan isu pelaburan asing yang didakwa masih tidak menampakkan hasil meskipun kerajaan menjalankan lawatan ke lebih 30 negara serta isu berkaitan integriti sistem kehakiman dan dakwaan kes gangguan seksual yang sedang dihadapi Perdana Menteri.
“Jika situasi ini dibiarkan, negara akan terus rosak dan masa depan rakyat menjadi gelap. Kita perlu gerakkan perubahan segera,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa PN bersedia menawarkan manifesto tuntas jika berlaku pilihan raya termasuk penyelesaian ekonomi, peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat.
“Segala dasar Kerajaan Madani akan kita hapuskan. Kita sudah buktikan kebolehan kita ketika memimpin negara semasa pandemik Covid-19,” katanya.
Muhyiddin turut mengajak rakyat bangkit tanpa mengira kaum untuk menyertai gerakan rakyat menyelamatkan negara dan menjadikan himpunan ini sebagai permulaan kepada perjuangan yang lebih besar demi masa depan negara.