Isyarat akar umbi buat pucuk pimpinan

PUTRAJAYA – Perjumpaan 140 Ketua UMNO Bahagian yang dijadualkan hari ini dilihat sebagai isyarat jelas daripada akar umbi parti yang mahukan isu pelaksanaan Titah Adendum berkaitan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak disegerakan.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, pertemuan tersebut bukan sekadar himpunan biasa sebaliknya mencerminkan keresahan di peringkat bawahan UMNO terhadap isu yang dianggap berlarutan terlalu lama.

“Ini isyarat daripada akar umbi UMNO yang mahu apa yang dikatakan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilihat benar-benar diperjuangkan, bukan sekadar janji yang berlarutan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, walaupun perjumpaan itu tidak melibatkan pimpinan tertinggi parti, namun ia tetap membawa mesej politik yang signifikan khususnya terhadap kredibiliti Ahmad Zahid.

“Soalnya sekarang, adakah Ahmad Zahid sebagai Presiden dilihat mampu mendesak agar Titah Adendum ini diselesaikan segera?

“Sebab ini bukan isu baharu. Ia sudah dibangkitkan sebelum UMNO jadi kerajaan lagi dan kini apabila kerajaan dibentuk, desakan itu semakin kuat,” katanya.

**media[3204521]**

Terdahulu, sumber dalaman UMNO mendedahkan pertemuan yang diatur tanpa melibatkan pucuk pimpinan parti itu akan berlangsung di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ia dipercayai bagi mendesak kerajaan untuk segera melaksanakan Titah Adendum.

Mengulas lanjut Mujibu berkata, keresahan akar umbi ini bukan semata-mata strategi politik, sebaliknya satu bentuk validasi terhadap kepimpinan Ahmad Zahid.

“Akar umbi seolah-olah memberi isyarat bahawa isu ini perlu ditangani dengan tuntas. Ini ujian besar kepada UMNO sama ada mampu melaksanakan atau tidak,” ujarnya.

Beliau berkata, tekanan terhadap Presiden parti itu juga perlu dilihat dalam konteks kestabilan UMNO dan Kerajaan Perpaduan.

“Sudah tentu beliau tidak mahu gangguan dalam UMNO, apatah lagi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin hampir. Pada masa sama, tidak mahu menambah beban kepada Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, isu ini perlu disusun dengan rapi dan dicatur dengan tenang oleh Timbalan Perdana Menteri itu bagi memastikan ia tidak menjejaskan ‘rentak’ BN dalam menghadapi pilihan raya, mahupun menambah tekanan kepada kerajaan ketika rakyat menumpukan perhatian kepada isu-isu harian.

“Kalau tidak diatur baik, ia bukan sahaja boleh ganggu UMNO, tapi juga boleh beri implikasi kepada kerajaan,” katanya.