GRS sedia hadkan penggal Ketua Menteri jika menang PRN - Armizan

PAPAR – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited untuk melaksanakan reformasi penting dalam tadbir urus kerajaan negeri termasuk menetapkan had tempoh pentadbiran Ketua Menteri kepada dua penggal, sekiranya diberi mandat baharu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah tersebut merupakan antara komitmen yang akan dimasukkan dalam manifesto gabungan itu di bawah teras Sabah United (Sabah Bersatu), yang bukan sahaja menekankan perpaduan rakyat, tetapi turut merangkumi usaha memperkukuh prinsip reformasi dan tadbir urus yang lebih telus serta bertanggungjawab.

“Komitmen ini telah pun dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Negeri pada Disember 2023 yang lalu. Kita telah membuat keputusan untuk mengehadkan tempoh seorang Ketua Menteri kepada hanya dua penggal berturut-turut.

“Bagaimanapun, kerana kita tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu, kita memutuskan supaya pindaan kepada Perlembagaan negeri ini hanya akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas kita memperoleh mandat baharu daripada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana filem Impak Maksima 2 di Benoni di sini pada Rabu.

Menurut Ahli Parlimen Papar itu, GRS kini dalam proses menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan itu dan akan dibawa ke persidangan dewan sebaik sahaja memperoleh sokongan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya akan datang.

“Jadi, kita berharap supaya rakyat Sabah dapat bersama-sama kita, beri ruang kepada GRS. Kita memerlukan kemenangan besar, melebihi dua pertiga majoriti supaya kita dapat meluluskan pindaan Perlembagaan negeri.

“Kalau ada individu yang berbakat dan masih mendapat sokongan, beliau boleh kembali selepas berehat satu penggal. Tapi yang penting, dua penggal itu mesti secara berturut-turut sahaja,” katanya.

Armizan turut menyatakan bahawa GRS mendahului usaha reformasi pentadbiran di peringkat negeri berbanding cadangan sama yang kini turut dibincangkan di peringkat Persekutuan.

“Jadi saya mahu katakan, di sini kita telah lebih awal bersetuju, iaitu pada Disember 2023, dan GRS komited untuk melakukan reformasi,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan ini akan menjadi sebahagian daripada kerangka besar manifesto GRS yang kini berada dalam peringkat perbincangan bersama parti-parti komponen.

Katanya, setiap parti dalam GRS telah diminta memberikan input berdasarkan empat teras utama gabungan iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Makmur), dan Sabah United (Sabah yang Bersatu) sebelum dibentangkan kepada Majlis Tertinggi GRS.