PRN Sabah: Dua komponen jadi teras kerangka manifesto GRS

PAPAR – Kerangka manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berpaksikan kepada dua komponen utama dan bakal dikemukakan untuk pertimbangan Majlis Kepimpinan gabungan itu sebelum diumumkan secara rasmi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa khas bagi penyediaan dan penggubalan manifesto tersebut telah diadakan dengan penglibatan semua lapan parti komponen dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah memberikan amanah kepada beliau untuk menguruskan jawatankuasa khas itu.

“Secara asasnya, manifesto GRS akan mengandungi dua komponen. Pertama ialah komponen yang berpaksikan kepada ikhtiar dan tekad ke hadapan GRS, yang berteraskan empat perjuangan GRS yang sedia ada iaitu 'Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United'.

“Komponen kedua pula ialah penilaian terhadap status kemajuan pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, yang menjadi bukti komitmen GRS dalam menunaikan janji dan meneruskan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana filem Impak Maksima 2 di Benoni pada malam Rabu.

**media[3204573]**

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar sebelum itu diminta mengulas mengenai perkongsian di Facebook rasminya berkaitan pertemuan dengan lapan wakil parti komponen GRS bagi melakar kerangka manifesto GRS pada Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, elemen pertama dalam manifesto itu akan menghimpunkan ikhtiar GRS yang selari dengan empat teras perjuangan asal gabungan berkenaan sejak penubuhannya pada tahun 2020.

“Teras-teras ini menjadi panduan utama kami untuk merangka hala tuju negeri ke hadapan, termasuk aspek perpaduan rakyat, pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial serta pemerkasaan Sabah dalam Persekutuan,” katanya.

Tambahnya, komponen kedua pula akan memperincikan pencapaian GRS sepanjang tempoh lima tahun mentadbir Sabah menerusi pelaksanaan Halatuju SMJ 1.0.

“Pencapaian ini akan dipaparkan dalam dua bentuk, iaitu 'walk the talk' bagi inisiatif yang telah digerakkan dan berjaya dilaksanakan, serta 'work in progress' bagi usaha yang sedang berjalan dan bakal diteruskan ke fasa seterusnya,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, teras Sabah United bukan sahaja menekankan usaha menyatupadukan rakyat, tetapi turut merangkumi dasar dan pelaksanaan yang telah diluluskan untuk memperkukuh perpaduan serta keharmonian negeri.

Armizan berkata, kesemua komponen ini akan dikemukakan kepada Majlis Kepimpinan GRS sebelum dimuktamadkan untuk dimasukkan dalam manifesto tersebut.