Ketua UMNO bahagian sahkan perjumpaan, enggan dedah agenda

GEORGE TOWN – Dua Ketua UMNO Bahagian di Pulau Pinang mengesahkan bahawa satu perjumpaan khas akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 17 Julai ini.

Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, jemputan tersebut dibuat melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri, namun agenda sebenar perjumpaan itu tidak dinyatakan.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi memaklumkan beliau akan menghadiri perjumpaan yang dijadualkan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Khamis ini.

“Saya dimaklumkan mengenai perjumpaan ini dan saya mengesahkan akan hadir. Apa agenda dan tujuan perjumpaan, saya tidak pasti, lebih-lebih lagi ia diadakan ketika Presiden UMNO sedang dalam rangka lawatan ke luar negara.

“Dalam jemputan pun tidak dinyatakan secara jelas tujuannya dan siapa yang menjemput. Namun, apabila jemputan ini dibuat melalui Badan Perhubungan Negeri, maka ia boleh diterjemahkan sebagai perjumpaan yang sah dan direstui,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah beliau, sebagai Ketua Bahagian, beliau hanya menurut perintah, dan akan menyokong sekiranya ia berkait dengan isu Titah Adendum terhadap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Kami Ketua Bahagian hanya menurut perintah. Namun, sekiranya tujuan perjumpaan ini adalah untuk mendesak kerajaan melaksanakan Titah Adendum yang telah diakui wujud, saya yakin seluruh kepimpinan UMNO bahagian akan bersatu hati menyokong usaha baik ini.

“Keadilan buat Datuk Seri Najib perlu ditegakkan tanpa berselindung di sebalik apa jua alasan kerajaan hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bayan Baru, Datuk Mansor Musa turut mengesahkan menerima jemputan tersebut dan akan hadir pada perjumpaan itu.

Beliau berkata, walaupun tidak diberitahu agenda sebenar, UMNO Bayan Baru akan membentangkan satu usul bagi mendesak kerajaan melaksanakan segera Titah Adendum berkaitan Najib.

“Kita akan buat usul agar kerajaan segera melaksanakan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

“Usul tersebut menegaskan bahawa titah itu merupakan manifestasi penghormatan tertinggi terhadap institusi Raja dan simbol keadilan dalam sistem pemerintahan berperlembagaan negara.

“Menerusi usul itu, langkah melaksanakan titah tersebut secara segera akan memperlihatkan kebertanggungjawaban kerajaan serta memperkukuhkan kedudukan institusi beraja sebagai pelindung keadilan dan keutuhan negara,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan titah itu juga mencerminkan keprihatinan terhadap hak asasi manusia dan prinsip keadilan sejagat seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Usul itu turut menyentuh keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 6 Januari 2025 yang mengesahkan kewujudan dan kesahan Titah Adendum berkenaan seperti diperakukan oleh Istana Pahang pada 4 Januari 2025.

“Pihak Peguam Negara didakwa telah menyembunyikan kewujudan titah itu selama hampir setahun, satu tindakan yang dianggap tidak menghormati budi bicara Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya.

Sehubungan itu, Mansor berkata, UMNO Bayan Baru mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan titah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu dengan segera.

“Usul berkenaan turut menegaskan bahawa pelaksanaan Titah Adendum tersebut tidak akan menjejaskan integriti sistem kehakiman dan eksekutif negara, malah akan memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan dan kebertanggungjawaban seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.