Rafizi, Nik Nazmi tidak hadir pertemuan dengan PM

SHAH ALAM - Dua Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak menghadiri pertemuan melibatkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdan, Putrajaya pada Isnin.

Memetik laporan Malaysiakini, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, beliau sudah sedia maklum mengenai perkara yang akan dijelaskan oleh Anwar dalam mesyuarat sama sebelum ini.

“Saya telah pun mendapat penjelasan berhubung perkara itu sejak beberapa bulan lalu. Jadi saya jangka Perdana Menteri akan memberikan penjelasan sama.

“Sebelum ini, isu tersebut belum menjadi isu nasional dan penjelasan hanya diberikan kepada beberapa orang sahaja.

“Saya rasa itu sebabnya Perdana Menteri lebih memilih untuk mengadakan pertemuan tertutup bersama ahli Parlimen berbanding menjelaskannya secara terbuka kerana beliau merasakan ada maklumat sensitif yang saya sendiri telah maklum sejak beberapa bulan lalu iaitu sebelum saya meletak jawatan sebagai menteri ekonomi,” kata Rafizi.

Sementara itu, Nik Nazmi menjelaskan bahawa beliau tidak dapat hadir dalam mesyuarat berkenaan kerana perlu menyertai lawatan ke Singapura yang telah dirancang lebih awal.

Sebelum ini, Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Pandan itu juga melancarkan satu petisyen dalam talian sebagai usaha mempertahankan kebebasan serta integriti institusi kehakiman negara.