SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar perlu digantung daripada parti susulan penyertaannya dalam Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman di Putrajaya pada Isnin.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, tindakan sama juga perlu dikenakan kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini menyuarakan isu kemelut institusi kehakiman dalam satu sidang media pada 7 Julai.
Ujar beliau, perbuatan yang dilakukan oleh mereka itu didakwa telah melanggar disiplin parti.
Menurutnya, mereka dilihat seolah-olah mencabar kuasa Perdana Menteri atau mempertikaikan kredibiliti kerajaan dalam isu sepenting ini.
“Nurul Izzah mesti jelas, adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) itu hanya bertujuan untuk mengenal pasti hakim kanan yang terlibat dalam dakwaan campur tangan? Itu mudah.
“Atau adakah ia bertujuan untuk menyiasat penyalahgunaan sistemik, termasuk kemungkinan bahawa Perdana Menteri atau pejabatnya melengahkan, menghalang, atau campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim tertinggi? Itu sangat sensitif,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Nurul Izzah menyatakan sokongan terhadap usaha mempertahankan kebebasan badan kehakiman apabila turun menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman anjuran Majlis Peguam Malaysia di Putrajaya pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman adalah jaminan Perlembagaan Persekutuan dan turut didukung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujar Mohd Zaid, tindakan Nurul Izzah menyertai perarakan berkenaan juga disifatkan sekadar publisiti murahan.
Menurutnya, Nurul Izzah sepatutnya perlu menyokong sebuah RCI yang benar-benar bebas dan menyeluruh, termasuk melibatkan siasatan dijalankan ke atas Perdana Menteri.
“Selain itu, Nurul Izzah juga perlu perjelaskan skop yang diperjuangkannya. Adakah RCI itu akan menyiasat mengapa cadangan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) telah diabaikan atau dilengahkan?
“Adakah ia akan menyiasat sama ada wujud pertimbangan politik dalam pelantikan Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu?
“Adakah ia akan menyentuh sama ada Perdana Menteri, yang juga merupakan ayahnya sendiri, memainkan peranan dalam melengahkan atau memintas cadangan-cadangan tersebut?” soalnya.