MELAKA - Barisan Nasional (BN) sedang siap siaga untuk berdepan pilihan raya Negeri (PRN) Melaka termasuk kemungkinan parti itu akan bergerak solo dalam 'peperangan' itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini belum ada sebarang rundingan ataupun keputusan yang diputuskan bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN negeri ini.
Menurutnya, bagaimanapun kajian mendalam berkenaan kemungkinan tersebut sama ada bergerak solo atau sebaliknya akan dilakukan terlebih dahulu kerana situasi politik berbeza mengikut negeri.
Katanya, ini kerana pilihan raya diibaratkan peperangan, dan pihaknya perlu sentiasa bersiap sedia dan teliti dari segi strategi agar tidak tersilap langkah.
**media[3199245]**
"Persiapan itu boleh jadi dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada yang memberi kebaikan kepada kita.
“Jika baik bersama, bersamalah, jika baik seorang diri, seorang dirilah,” katanya kepada pemberita selepas selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Telok Mas di sini, pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, ini kerana formula politik di setiap negeri berbeza termasuk di Melaka, Johor, Kelantan dan Kedah malah di negeri Sabah juga berlainan kaedahnya.
“Contohnya di Sabah, kita sudah umumkan akan bersama dengan PH dan akan turut memilih mana-mana parti tempatan yang kita rasa boleh tambah nilai kepada kita untuk hadapi pilihan raya.
"Pendekatan satu formula untuk semua tidak boleh digunakan dalam strategi BN kali ini kerana realiti politik yang pelbagai," katanya lagi.