‘Mai Kedah, tengok suasana sini' - Sanusi

SUNGAI PETANI - Penentuan kuasa dalam politik terletak sepenuhnya di tangan rakyat, bukan segelintir individu atau parti semata-mata.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat akan menilai prestasi parti yang membentuk kerajaan dan ketika pilihan raya, mereka akan membuat penilaian serta pendirian masing-masing.

Menurutnya, mana-mana pemimpin politik boleh membuat dakwaan mahupun jangkaan politik tersendiri, namun keputusan rakyat lebih tepat dalam menentukan kuasa politik.

“Politik bergantung pada tangan orang ramai, bukan tangan seseorang. Orang ramai akan buat penilaian tentang prestasi parti yang membentuk kerajaan.

“Sampai ketika, orang ramai akan buat penilaian melalui pilihan raya. Jadi kita serah kepada rakyat untuk tentukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Mutiara Bandar Puteri Jaya Fasa 7 di sini pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai berkata, kedudukan kerajaan negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) di Kedah, Perlis dan Terengganu dilihat tidak stabil, sekali gus membuka peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk merampas semula tiga negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Ahmad Maslan juga dilaporkan berkata, separuh daripada pengundi di tiga negeri berkenaan masih menyokong UMNO, manakala sebahagian lagi berada dalam kelompok atas pagar yang mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah tegaskan, setiap unjuran politik seharusnya berlandaskan kepada realiti.

“Ahmad Maslan boleh buat jangkaan, dakwaan macam-macam, semua boleh, tapi kenalah berpijak pada realiti.

“Kalau dia mai (datang) Kedah dan tengok suasana sini, saya ingat dia tak berani cakap begitu,” katanya.