Tiada isu peralihan kuasa dalam Pas - Sanusi

SUNGAI PETANI – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa tidak timbul sebarang isu peralihan kuasa dalam Pas sekiranya Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang melepaskan jawatannya pada masa depan.

Beliau berkata, isu berkenaan hanya dibangkitkan oleh pihak luar yang berasa gusar dengan kekuatan Pas di bawah kepimpinan Abdul Hadi.

Menurutnya, persoalan mengenai siapa yang akan menggantikan Abdul Hadi tidak wajar dibangkitkan kerana perkara itu tidak berlaku dan tidak pernah menjadi isu dalam parti tersebut.

“Perkara itu tidak berlaku, jadi bagaimana saya nak jangka sesuatu yang tidak berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Mutiara Bandar Puteri Jaya Fasa 7 di sini pada Khamis.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyifatkan ia sekadar spekulasi luar parti yang dicetuskan oleh musuh politik.

“Ramai yang mahu begitu, pasal apa... tetapi bukan daripada dalam Pas, desakan daripada orang lain. Mereka gerun barangkali. Musuh akan buat macam-macam, tetapi kita tetap akan kekal,” katanya.

Menurut beliau lagi, Pas akan terus konsisten dengan pendirian serta perjuangan parti biarpun berdepan pelbagai usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kekuatan parti itu dari luar.

Sanusi berkata demikian ketika mengulas spekulasi mengenai kedudukan Abdul Hadi yang dikaitkan dengan masalah kesihatan dan kemungkinan beliau melepaskan jawatan Presiden Pas.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan itu atas faktor kesihatan, namun ia dinafikan oleh pemimpin Pas sendiri.

Abdul Hadi dilaporkan kembali menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, awal bulan ini selepas pulih daripada menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Jun lalu.