Dakwaan kebebasan kehakiman terjejas perlu bukti konkrit - Kamil Munim

SHAH ALAM – Dakwaan bahawa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri menghadapi isu undang-undang peribadi merupakan kenyataan yang perlu dibuktikan serta disandarkan kepada fakta konkrit, bukan tuduhan rambang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebaliknya, tindakan terhadap seorang Perdana Menteri atau mana-mana individu berjawatan tinggi melalui proses undang-undang sivil merupakan petanda jelas bahawa badan kehakiman di negara ini bebas dan berfungsi.

“Ia menunjukkan bahawa tiada sesiapa yang kebal di bawah undang-undang  dan prinsip kedaulatan undang-undang ditegakkan.

“Sistem kehakiman yang bebas akan membenarkan proses undang-undang berjalan tanpa campur tangan eksekutif, tidak kira siapa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menunggang kenyataan sebilangan ahli Parlimen tidak lebih daripada cubaan untuk menangguk di air yang keruh.

“Pandangan atau pendapat daripada mana-mana ahli Parlimen kerajaan tidak boleh ditafsir sebagai hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

“Sepanjang tempoh Kerajaan Madani mentadbir negara, kita telah saksikan ramai ahli Parlimen kerajaan memberi pandangan dan pendapat secara terbuka terhadap dasar serta pendekatan kerajaan dalam pelbagai isu,” katanya.

Menurutnya, perbezaan pendapat tersebut menjadi bukti kekuatan kerajaan hari ini yang mengiktiraf dan meraikan perbezaan pandangan dalam sebuah negara demokrasi.

“Ini jauh berbeza dengan pendekatan Muhyiddin yang pernah menutup Parlimen dan enggan berhadapan dengan ahli Parlimen pembangkang.

“Perbezaan terbuka seperti ini adalah amalan biasa dalam Kerajaan Madani, yang mengangkat prinsip kematangan berpolitik — berbeza dengan budaya politik diam yang diamalkan Muhyiddin dan kelompoknya,” katanya.

Muhammad Kamil turut menyatakan bahawa mengaitkan dasar kerajaan seperti peluasan cukai SST atau kenaikan tarif elektrik dengan dakwaan kononnya mahu mengukuhkan cengkaman terhadap institusi adalah satu tafsiran yang jauh meleset.

Beliau turut menjelaskan bahawa permohonan Perdana Menteri untuk merujuk lapan soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan adalah hak undang-undang setiap individu.

“Menuduh ia sebagai konflik kepentingan atau sesuatu yang belum pernah berlaku adalah tafsiran dangkal dan memalukan, apatah lagi ia datang daripada seorang veteran legislatif,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang bukti menunjukkan Perdana Menteri campur tangan atau melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang melibatkan pentadbiran kehakiman.