SHAH ALAM – Pas menegaskan sokongan parti itu terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman adalah bersifat menyeluruh dan tidak bersyarat.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak timbul soal sokongan bersyarat terhadap cadangan RCI seperti yang didakwa oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini hanyalah satu pelawaan agar Rafizi dan rakan-rakan menyertai Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.
“Apa yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Pas ialah supaya YB Datuk Seri Rafizi dan rakan-rakan turut serta dalam himpunan itu. Nak datang atau tidak, terpulanglah. Tidak ada masalah," katanya.
Tambah Ahmad Fadhli, Pas menyokong penuh penubuhan RCI atau apa-apa jua usaha yang boleh menyelesaikan kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.
Namun tegasnya, cadangan RCI itu tidak akan membawa sebarang makna sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersedia melaksanakannya.
“Cadangan penubuhan RCI ini pun tidak akan terlaksana dan tidak akan ke mana-mana selagi PMX tidak menjadi XPM. Itu sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan tindakan Pas yang didakwa meletakkan syarat terhadapnya sebagai ‘menunggang’ isu badan kehakiman untuk kepentingan politik.
Rafizi berkata, sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk dirinya telah menghantar surat rasmi kepada semua Ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berkenaan.
Katanya, langkah itu dibuat bagi mengenal pasti pihak yang benar-benar bersetuju atau tidak bersetuju dengan usaha menegakkan integriti institusi kehakiman melalui satu siasatan yang bebas dan berwibawa.