IPOH – Bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendedahkan terdapat 16 Ahli Jawatankuasa (AJK) cabang berkenaan termasuk Naib Ketua Cabang menyatakan hasrat meletakkan jawatan susulan keputusan pemilihan parti baru-baru ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta itu, semua AJK terbabit merupakan sebahagian daripada pasukannya yang kecewa dengan keputusan pemilihan peringkat cabang.
"Sebanyak 16 orang termasuk Naib Ketua Cabang sudah maklumkan kepada saya bahawa mereka mahu meletakkan jawatan. Saya nasihatkan mereka supaya jangan berbuat demikian.
“Saya beri nasihat dan tenangkan mereka. Tugas kita sebagai pemimpin parti adalah membantu rakyat dan membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhamad Arafat menegaskan bahawa kekalahan beliau dalam pemilihan itu langsung tidak menjejaskan peranannya sebagai wakil rakyat.
“Pemilihan parti dan tugas wakil rakyat adalah dua perkara berbeza. Tanggungjawab terhadap rakyat tetap saya teruskan seperti biasa. Ini bukan soal merajuk, tapi percaturan strategi dalam politik,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang, majoriti AJK yang memenangi pemilihan masih daripada pasukannya.
“Daripada 46 calon bertanding, 44 adalah daripada pasukan saya yang menang. Hanya dua calon bukan dari pasukan saya yang berjaya.
"Jadi, boleh dikatakan majoriti AJK masih bersama saya,” katanya.
Justeru itu, beliau menyatakan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kepimpinan baharu cabang demi kepentingan rakyat.
Dalam pemilihan PKR pada April lalu, Muhamad Arafat gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Tambun apabila memperoleh 1,233 undi berbanding lawannya, Shamsul Kamar Ani yang mendapat 1,458 undi.