'Jangan gugat institusi Presiden, fokus hadapi PRU16' - Harrison

SHAH ALAM - Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang cuba mencabar institusi Presiden diingatkan tidak menjadi pencetus perpecahan dalam parti ketika seluruh jentera sedang giat memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Harrison Hassan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu telah menerima mandat majoriti daripada perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) lalu sekali gus membuktikan keabsahan kepimpinannya wajar dipertahankan oleh semua ahli parti.

"Agak mengecewakan pada ketika semua bahagian Bersatu sedang sibuk berkampung dalam persidangan masing-masing, ada dalam kalangan pemimpin parti yang cetek pemikiran serta tidak matang politik mengusulkan sesuatu yang telah pun dipersetujui sebelum ini.

"Taktik dan helah ini seolah-olah berniat jahat untuk melemahkan institusi presiden dan kepimpinan utama parti bagi mengepalai bahtera Bersatu pada PRU16 nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Harrison yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Selangor turut menyelar cadangan yang mahu menukar atau menggantikan portfolio ‘pengurusan parti’ sambil menyifatkannya sebagai dangkal.

"Kami perwakilan akar umbi dan kepimpinan parti seluruh bahagian dalam negara bertekad serta beriltizam untuk meneruskan sokongan penuh dan usaha presiden menerajui parti Bersatu ke hadapan.

"Sebarang usaha memecahbelahkan perpaduan parti wajib dihentikan serta-merta dan tidak teragak-agak mencadangkan agar individu atau kumpulan terlibat dibawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti,” tegas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Bersatu Bahagian Port Dickson meluluskan usul mencadangkan Muhyiddin memainkan peranan sebagai penasihat parti manakala jawatan Presiden diserahkan kepada Hamzah Zainuddin.