Bersatu Maran sokong Muhyiddin demi masa depan Malaysia

KUANTAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, demi memastikan masa depan negara terus stabil dan berintegriti.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaludin berkata, keutamaan parti ketika ini adalah memperkukuh organisasi, memperluas keanggotaan serta mempererat kerjasama strategik bersama rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Muhyiddin telah menerima mandat dan kepercayaan sepenuhnya daripada seluruh perwakilan parti dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu pada 30 November 2024 yang menyaksikan beliau terus dipilih menerajui parti tanpa dicabar.

“Ini adalah bukti jelas bahawa majoriti akar umbi dan kepimpinan di seluruh negara meyakini keteguhan prinsip serta kebijaksanaan beliau dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Jasri, Bersatu bukan sekadar entiti politik, tetapi merupakan wadah perjuangan rakyat yang tidak boleh terperangkap dalam polemik dalaman yang tidak membina.

Katanya, keutamaan parti adalah untuk membantu rakyat, bukan melayani isu-isu yang melalaikan.

"Apa yang lebih penting kini ialah menyusun barisan, memperkukuh Pusat Daerah Mengundi (PDM), menggerakkan bahagian, memperluas program latihan dan tarbiah kepada ahli serta anggota baharu.

“Di bawah pimpinan Muhyiddin, kita perlu turun ke lapangan, mendengar denyut nadi rakyat, menyantuni warga desa dan kota serta menyelesaikan isu-isu kehidupan rakyat marhaen,” ujarnya.

Jasri yang juga Ahli Dewan Negeri Kuala Sentul, menegaskan bahawa Bersatu harus menjadi suara tulen rakyat dengan memperkukuh akar umbi, menyemai budaya politik sihat dan mendidik pemimpin pelapis yang beramanah.

Beliau turut menekankan pentingnya perpaduan antara parti komponen seperti Pas, Gerakan dan lain-lain dalam PN bagi menjamin kestabilan dan kesepaduan blok pembangkang.

“Kami percaya dengan gabungan pengalaman Muhyiddin, semangat juang kepimpinan kanan, tenaga muda serta akar umbi yang cekal, Bersatu akan tampil sebagai parti nasional abad ke-21 yang unggul dan inklusif.

"Ia dapat menjangkaui kaum, agama, dan wilayah serta menawarkan penyelesaian tuntas untuk Malaysia yang lebih adil, sejahtera dan bermaruah,” katanya.

Tambah beliau, ini adalah masa terbaik untuk memperkukuh kepercayaan rakyat, dan menyeru semua ahli dan pimpinan dari peringkat cawangan hingga pusat agar bersatu dalam tekad.

“Kita tidak hanya tahu bercakap soal perubahan, tetapi mesti membawanya dengan konsisten, tenang dan berprinsip.

“Marilah kita buktikan bahawa Bersatu bukan sahaja mampu bangkit semula, tetapi juga mampu memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.