KUALA LUMPUR – Pas menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman, sekiranya Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli turut serta dalam Himpunan Turun Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kehadiran Rafizi dalam perhimpunan itu akan memberi isyarat jelas bahawa beliau benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus.
“Saya cadangkan beliau sertai himpunan kita nanti. Itu lebih baik bagi beliau nyatakan pandangannya secara terbuka.
“Banyak isu yang masih gagal ditangani oleh Perdana Menteri, termasuk kemelut pelantikan dalam badan kehakiman, selain masalah ekonomi yang semakin menekan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika mengulas desakan sembilan ahli Parlimen PKR yang diketuai bekas Menteri Ekonomi itu agar kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah.