SHAH ALAM - UMNO perlu memberi sebanyak mungkin peluang kepada golongan muda untuk terlibat dalam proses membuat keputusan bersama kepimpinan parti, dengan mengangkat mereka bekerja sebagai satu pasukan demi memahami idealisme parti dalam bahasa anak muda.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, dalam usaha tersebut, parti terbesar orang Melayu itu juga wajar memperkenalkan dasar progresif untuk bangkit bersama generasi muda agar golongan tersebut dapat menilai soal kepartian melangkaui mana-mana tokoh individu.
Menurutnya, langkah berkenaan penting agar UMNO dapat memenuhi keperluan dinamika politik semasa yang tidak lagi terikat kepada perjuangan bersifat retorik.
“Hakikatnya, politik bersifat dinamik dan tidak lagi statik. UMNO perlu memenuhi keperluan dinamika ini dengan melakukan transformasi substantif dan tidak lagi terikat kepada nilai sejarah atau legasi, walaupun ia tetap penting.
“UMNO perlu memastikan tidak wujud jurang generasi yang ketara, sebaliknya mempunyai kesinambungan kepimpinan yang melibatkan proses pengkaderan keahlian,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau mengulas kenyataan dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyarankan agar UMNO melaksanakan pendekatan baharu bagi menarik sokongan pengundi muda.
Johari berkata, UMNO perlu menghentikan pendekatan politik berasaskan nostalgia, sebaliknya bergerak secara lebih dinamik serta menerima hakikat bahawa tiada lagi mana-mana parti yang mampu memperoleh majoriti mutlak dalam pilihan raya umum (PRU).
Wan Rosdy pula menekankan kepentingan pendekatan baharu dalam usaha merampas kembali kerusi yang telah tewas, termasuk Parlimen Kepala Batas di Pulau Pinang pada PRU16 kelak.
Mengulas lanjut, Sivamurugan bersetuju dengan peringatan yang disuarakan kepimpinan kanan UMNO. Justeru, tegasnya, UMNO juga perlu konsisten dalam menonjolkan naratif inklusif dan progresif yang menyentuh isu-isu sebenar yang dihadapi rakyat.
“Isu yang kerap dibangkitkan memerlukan komitmen jitu seperti isu kos sara hidup, cukai, pendidikan, perumahan, kesihatan, pendigitalan dan demokrasi.
“Dalam masa sama, UMNO perlu mengamalkan politik sederhana yang realistik, tawaduk dan berempati, tanpa menjejaskan usaha berterusan mempertahankan prinsip Melayu-Islam, tetapi dengan pendekatan yang lebih inovatif sesuai dengan era kecerdasan buatan (AI) masa kini,” ujarnya.
Tambahnya, komunikasi menjadi elemen terpenting dalam politik hari ini kerana sifatnya yang memerlukan sentuhan hati dan emosi.
Justeru, katanya, jaringan hubungan dan komunikasi yang memudahkan interaksi serta berasaskan kejujuran, amanah dan integriti perlu diwujudkan.