KLANG – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd Affifi Mohd Aris mencadangkan UMNO kembali bertanding lebih daripada 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mengembalikan dominasi parti itu dalam politik negara.
Menurut beliau, hanya dengan bertanding lebih 120 kerusi, UMNO mampu menjadi parti utama yang memimpin kerajaan dan tidak lagi bergantung kepada pihak lain.
"Saya sebenarnya yakin dan percaya hasrat akar umbi untuk melihat UMNO ini kembali memimpin dan bukan dipimpin.
"Maka tiada jalan lain selain UMNO bergerak solo sekali gus menjadi Perdana Menteri," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kapar di Dewan MBDK Seri Kerayong di sini pada Sabtu malam.
Mohd Affifi menegaskan, mustahil untuk mana-mana gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan memberikan laluan kepada UMNO bertanding lebih 120 kerusi jika terus berada dalam kerjasama sedia ada.
"Dengan jumlah 222 kerusi Parlimen, tak logik gabungan lain beri kita ruang sebegitu, jadi formula terbaik ialah bergerak sendiri," jelasnya.
Beliau juga menyeru pucuk pimpinan tertinggi parti mengutamakan kesatuan dan perpaduan dalaman sebagai langkah penting ke arah kebangkitan UMNO.
"Masalah sekarang bukan di akar umbi, tapi di atas (kepimpinan tertinggi) yang perlu bersatu, bukan hanya pada slogan, tetapi tindakan.
"Mana merajuk kita pujuk, (manakala) yang keluar parti kita tarik semula melalui jawatankuasa khas," katanya.
Beliau menjelaskan, persidangan sayap pemuda bahagian itu tahun ini mengusulkan dua perkara utama iaitu had umur Ketua Pemuda ditetapkan bawah 40 tahun dan mengekalkan kerusi Parlimen Kapar untuk UMNO.
"Dengan Undi18 sudah berkuat kuasa, wajar Ketua Pemuda UMNO mesti bawah 40 tahun supaya dasar dan gerakan parti lebih seiring dengan kehendak semasa.
"Selain itu, Kapar perlu kekal ditandingi UMNO kerana pengundi Melayu mencecah 70 peratus," katanya.
Beliau turut memaklumkan, UMNO Kapar kini giat merancang pelbagai strategi dan program mendekati rakyat dalam usaha memperkukuh kedudukan menjelang PRU akan datang.
"Sama ada kita bergerak solo atau bersama gabungan, kami di Kapar sudah mula gerak kerja dari sekarang," katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sebarang usul atau pandangan yang mahu diketengahkan oleh mana-mana bahagian perlulah dibawa melalui saluran rasmi seperti mesyuarat parti di peringkat bahagian.
Menurut beliau, platform seperti mesyuarat bahagian merupakan ruang terbaik untuk mencadangkan usul yang kemudiannya boleh diangkat ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan seterusnya dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang.
"Seperti yang saya nyatakan dalam mesyuarat tadi, di sinilah tempat terbaik untuk membawa apa sahaja pandangan atau usul.
"Kita tak mahu Bahagian Kapar sahaja bawa satu usul sedangkan bahagian lain tidak selari dengan naratif tersebut," jelas beliau.
Beliau turut menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pimpinan parti dalam menilai setiap usul yang dibawa.
"Kita ada platform untuk menimbang tara usul-usul dibawa oleh setiap bahagian dan akan diputuskan dalam mesyuarat MKT nanti," katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan setakat ini belum ada mana-mana usul dibawa ke peringkat tertinggi kerana persidangan bahagian masih berlangsung.
"Segala usul itu akan diteliti dan diputuskan sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO pada November nanti," jelasnya.