Penutupan pejabat tidak jejaskan operasi PN

IPOH – Setiausaha Eksekutif Perikatan Nasional (PN) masih sihat, waras dan sentiasa memberikan maklumat.

Itu antara reaksi yang diberikan oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung isu penutupan Ibu Pejabat PN di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur sejak Mac lalu.

Beliau menegaskan bahawa penutupan pejabat tersebut tidak menjejaskan operasi pengurusan dan pentadbiran parti, malah komunikasi antara pimpinan serta jentera masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

“Kita masih mempunyai pegawai-pegawai yang berkhidmat. Saya sendiri sentiasa menerima maklumat daripada ibu pejabat. Itu membuktikan bahawa ia masih berfungsi seperti biasa,” katanya.

Menurut beliau, kekeliruan mungkin timbul berikutan tamatnya tempoh sewaan pejabat berkenaan yang berlangsung selama dua tahun dan tidak dilanjutkan selepas kontrak berakhir pada April.

“Setiap kali kita menyewa pejabat, kita ada tempoh yang telah ditetapkan. Bila tempoh itu tamat dan tidak disambung, ia bukan satu isu besar. Saya kira perkara ini pernah dibincangkan sebelum ini,” jelasnya.

Mengulas dakwaan kononnya PN gagal melunaskan bayaran sewa pejabat lama, Ahmad Faizal menyifatkannya sebagai tuduhan yang tidak berasas.

“Saya ucapkan terima kasih kepada media kerana ambil berat tentang PN. Setiausaha Eksekutif PN masih sihat, waras dan sentiasa berhubung dengan kami. Itu bukti sistem masih berjalan dengan baik,” katanya secara berseloroh.

Terdahulu, Ahmad Faizal hadir menyempurnakan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tambun di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Sabtu.

Pengerusi Bersatu Perak yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tambun itu berkata, usul menambah baik dan memperkukuhkan parti merupakan antara agenda utama yang akan dibentangkan ke peringkat Persidangan Agung Tahunan parti pada September depan.

Selain itu, katanya, usul yang dibawa juga menekankan intipati pemantapan gerak kerja dalam menghadapi pilihan raya akan datang serta kesetiaan ahli-ahli parti kepada pucuk pimpinan.

“Syabas dan tahniah kepada semua 24 bahagian Bersatu di negeri ini yang berjaya mengadakan persidangan bermula malam ini (Sabtu) sehingga esok (Ahad).

“Tentunya semua perkara yang dibincangkan dan usul-usul yang dibahaskan akan kita perincikan,” katanya.