PONTIAN – UMNO telah memulakan persiapan lebih awal sejak setahun lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa tahun ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persiapan itu melibatkan penyusunan jentera pilihan raya di semua peringkat dan pemantapan struktur parti di akar umbi.
Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) kali ini lebih bersedia berbanding PRN Sabah 2020 susulan pendekatan berfokus yang diterajui pimpinan negeri.
“Sejak tahun lalu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga telah mengenal pasti beberapa calon berpotensi untuk bertanding dalam PRN.
“Malah, selama tiga hari saya berada di Sabah baru-baru ini, saya dapati jentera UMNO, BN serta Pakatan Harapan (PH) telah bergerak lebih awal berbanding PRN 2020,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Sekolah Agama Parit Semerah dan Penyampaian Anugerah Pelajar di Dewan Muafakat, Taman Saujana pada petang Sabtu.
PRN Sabah kali ke-17 dijangka diadakan pada tahun ini berikutan tempoh pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan berakhir pada Oktober 2025.
Bagi menghadapi PRN Sabah, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 Ogos depan telah ditangguhkan kepada 26 hingga 29 November 2025 bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi PRN tersebut.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan memaklumkan bahawa perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Dalam pada itu, Ahmad menambah bahawa UMNO berkemungkinan bertanding antara 25 hingga 30 kerusi pada PRN kali ini dengan harapan semua calon parti dapat memenangi kerusi yang ditandingi.
Tambahnya, sasaran UMNO untuk bertanding antara 25 hingga 30 kerusi adalah rasional berdasarkan kepada peluang untuk menang, berbanding bertanding lebih banyak kerusi yang tidak pasti peluangnya.
“Kita tidak mahu lagi berdepan situasi persiapan yang lewat seperti PRN 2020. Langkah kali ini lebih teratur dan menyeluruh bagi memastikan kemenangan calon-calon UMNO/BN yang bertanding.
“Harapan kita, kalau kita bertanding 25, kita menang 25. Kalau kita bertanding 30, kita menang 30. Itu yang penting, jangan bertanding banyak tapi kalah pun banyak.
“Kali ini saya yakin kerana kita bukan buat persiapan saat-saat akhir. Kita buat kursus, rancang secara menyeluruh, program anak muda, jelajah PRN kali ke-17 mengikut bahagian dan juga mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor memaklumkan bahawa UMNO Johor turut diberikan beberapa bahagian tertentu di Sabah sebagai ‘bapa angkat’ pada PRN tersebut.