Penggubalan Akta CCUS 2025 cerminan hubungan berkesan antara kerajaan - Armizan

TENOM - Penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (CCUS) yang hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Labuan bukti jelas keperluan kepada pendekatan hubungan antara kerajaan (inter-governmental) dalam sistem persekutuan negara ini.

Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah kabinet Persekutuan mengehadkan pemakaian akta itu kepada dua wilayah berkenaan selepas menerima pandangan kerajaan Sabah dan Sarawak membuktikan betapa pentingnya struktur pentadbiran negeri diterajui oleh parti lokal manakala kerajaan pusat pula diterajui oleh parti nasional.

"Teras kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlulah datang daripada parti yang berbeza. Ini untuk memastikan hubungan antara dua peringkat kerajaan berbentuk antara kerajaan (inter-governmental) dan bukannya intra-parti.

"Hubungan inilah yang mendasari kerjasama antara teras kerajaan Persekutuan yang diketuai Pakatan Harapan (PH), dan teras kerajaan Sabah yang diterajui GRS," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap di sini pada Sabtu.

Menurut Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, Akta CCUS 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 Mac 2025 dan Dewan Negara pada 25 Mac 2025 pada asalnya dirancang untuk dikuatkuasakan di seluruh negara.

"Namun, kabinet Persekutuan bersetuju supaya Rang Undang-Undang (RUU) itu dipinda kepada pemakaian hanya untuk di Semenanjung Malaysia dan Labuan selepas mendengar pandangan kerajaan negeri Sabah yang diterajui GRS dan Sarawak diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Perkara ini juga berlaku disebabkan kerajaan Persekutuan diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang amat komited berpegang kepada pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Beliau menegaskan bahawa GRS tidak menolak parti nasional dan secara realitinya kerajaan Sabah turut dianggotai oleh barisan pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH).

"Namun, penting untuk memastikan teras kerajaan negeri terdiri daripada parti lokal agar kepentingan negeri kekal menjadi agenda utama.

"Ia juga bagi memastikan semua perkara yang menyentuh kepentingan negeri dibincang secara rasmi melalui saluran antara kerajaan dan bukan terlebih dahulu dirunding secara dalaman parti," katanya.

Armizan turut menyentuh perbezaan ketara antara penggubalan Akta CCUS 2025 dengan Akta Laut Wilayah 2012 yang didakwanya gagal mempertimbangkan pandangan negeri Sabah ketika itu.

Menurut beliau, berbeza dengan pendekatan hari ini, penggubalan Akta Laut Wilayah dahulu berlaku dalam suasana politik di mana kerajaan pusat dan kerajaan negeri didominasi oleh parti nasional yang sama.

"Tahun 2012 kedua-dua kerajaan dipimpin oleh parti nasional yang sama, berbeza dengan 2025 di mana teras kerajaan negeri adalah parti lokal manakala kerajaan pusat diterajui parti nasional.

"Pada masa itu juga, hampir keseluruhan Ahli Parlimen Sabah berada dalam parti atau gabungan nasional yang terikat dengan pendirian gabungan masing-masing di Parlimen," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pemimpin politik hari ini yang lantang mempertikaikan Akta Laut Wilayah 2012 sedangkan mereka sendiri berada dalam kerajaan ketika akta itu dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.

"Hari ini ada pemimpin dan parti tertentu yang tiba-tiba lantang berbicara tentang hak negeri termasuk mempertikaikan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 sebagai modal politik. Ada kalangan mereka ialah ahli Parlimen, malah Menteri Persekutuan pada tahun 2012.

"Saya fikir mereka perlu jelaskan mengapa hanya hari ini mereka bangkitkan perkara ini. Mengapa tidak semasa RUU itu dibentangkan dan dibahaskan dahulu? Ini adalah 'rekod' parti dan pemimpin yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah," tegasnya.

Armizan berkata, beliau melihat perbezaan pendekatan terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan negeri seperti Akta Laut Wilayah dan Akta CCUS berpunca daripada dua faktor utama.

"Pertama, perbezaan teras kedua-dua peringkat kerajaan di antara tahun 2012 dan 2025. Tahun 2012 kedua-dua peringkat kerajaan bukan sahaja diterajui, malah didominasi oleh sebuah parti nasional yang sama. Berbeza pada tahun 2025 teras kerajaan negeri adalah parti lokal dan teras kepada Kerajaan Persekutuan adalah parti nasional.

"Kedua, hampir keseluruhan Ahli Parlimen Sabah pada tahun 2012 berada dalam parti atau gabungan parti nasional maka mereka terikat dengan keputusan gabungan parti nasional yang menentukan pendirian pengundian di Parlimen," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya struktur kerajaan negeri dikekalkan dengan diterajui oleh parti lokal agar agenda dan kepentingan Sabah tidak hanya dibincang di meja parti, malah terus dibawa ke meja perundingan rasmi antara kerajaan.