Dasar tak menentu PH-BN buka ruang PN ambil alih kerajaan - Mohd Radzi

KUALA LUMPUR - Dasar dan polisi kerajaan Perpaduan yang didakwa tidak menentu boleh membuka peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin itu berkata, walaupun situasi semasa bukan penentu utama keputusan pilihan raya, namun ia boleh menjadi asas kepada kecenderungan pengundi menjelang tempoh tersebut.

“Saya tidak mengatakan situasi semasa semata-mata, tetapi apabila menghampiri pilihan raya, keadaan pada waktu itu akan menjadi asas kepada bagaimana pengundi membuat keputusan.

“Saya sebutkan tadi bahawa ‘swing’ ini boleh berlaku ke kiri dan ke kanan, bergantung kepada keadaan dan sentimen rakyat,” katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Rembau di Dewan Madrasah Al- Islamiah Tuan Guru Haji Ibrahim di sini pada Sabtu.

Katanya, rakyat akan hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada sekiranya kerajaan PH-BN terus gagal mengurus negara dengan dasar-dasar yang jelas dan konsisten.

**media[3190797]**

“Kalau kerajaan ini berterusan dengan polisi dan dasar yang tidak menentu, saya yakin rakyat akan melihat bahawa kerajaan ini tidak mampu untuk memimpin negara dan akan bersedia memberi peluang kepada PN.

“Kita (PN) telah buktikan sebelum ini, semasa berdepan tiga krisis serentak iaitu krisis ekonomi, kesihatan dan politik bahawa kita dapat mentadbir negara dengan baik,” katanya lagi.

Diminta mengulas berhubung dakwaan wujud usaha bagi menjatuhkan kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin beliau menafikan khabar angin tersebut.

“Itu semata-mata khabar angin tidak ada kebenaran. Ini tak perlu sumber-sumber, ini sumber sahih. Sebelum berlaku pemilihan parti tahun lalu (semasa konvensyen), Tan Sri (Muhyiddin) telah membuat kenyataan ingin melihat Datuk Seri Hamzah Zainudin naik sebagai Timbalan Presiden.

“Sementara Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diberi ruang selaku Naib Presiden bersama saya dan juga Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung," katanya.

Jelas beliau, menerusi keputusan pemilihan lalu menunjukkan perwakilan menurut sama seperti mana yang diminta oleh Muhyiddin.

“Ini bermakna kami semua adalah orang presiden... kami semua orang Tan Sri Muhyiddin.

“Jadi tidak timbul kononnya ada orang dalam Bersatu mahu jatuhkan beliau," katanya.