PN bawa agenda reset politik, tawar Konsensus Nasional Baharu menjelang PRU16 - Saifuddin

SERDANG - Perikatan Nasional (PN) merancang menjadikan agenda reset politik negara menerusi pembentukan Konsensus Nasional Baharu sebagai antara teras utama perjuangan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, idea itu sudah dibawa oleh Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika berucap di Singapura pada 22 Mei lalu dan mula dijadikan usul dalam persidangan bahagian Bersatu seluruh negara sejak Jumaat.

Menurutnya, negara kini berada dalam keadaan sangat mencabar melibatkan kemelut ekonomi, perpecahan politik dan kesengsaraan rakyat yang menuntut satu pendekatan baharu secara menyeluruh.

"Agenda reset politik ini seperti mana yang pernah dilakukan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selepas peristiwa 13 Mei 1969.

"Zaman itu Tun Razak melakukan satu reset negara dengan memperkenal Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara yang mana hasilnya Malaysia mengecapi keamanan, perpaduan dan kemajuan sehingga dikenali sebagai antara Asian Tigers," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian 2025 di Seri Kembangan di sini pada Sabtu.

Saifuddin yang juga Pengerusi Bersatu Pahang menjelaskan, Malaysia kini berdepan krisis besar yang menuntut satu lagi reset politik di negara ini.

Beliau berkata, terdapat tiga tonggak utama dalam konsensus yang dicadangkan iaitu matlamat disepakati bersama; kemakmuran dan kerajaan prihatin serta inklusif.

Tambah Saifuddin, konsensus itu perlu merentas sempadan politik dan bukan sekadar menyatukan orang Melayu semata-mata, sebaliknya melibatkan semua kaum dan agama di negara ini.

"Kita kena tunjuk teladan. Kalau orang Melayu, bumiputera dan Islam boleh bersatu, ia akan memberi keyakinan kepada bangsa lain," ujar beliau.

Mengulas lanjut sama ada Bersatu berhasrat menarik UMNO bersama dalam kerangka ditetapkan, beliau berkata, perkara itu lebih sesuai dijawab oleh Hamzah, namun menegaskan bahawa idea konsensus ini tidak terhad kepada parti politik semata-mata.

"Konsensus ini melangkaui politik kerana ia soal kesepaduan sosial kerana kita meraikan kehadiran semua pihak, termasuk bukan Islam dan bukan Melayu.

"Pas ada calon bukan Islam, Bersatu juga ada calon bukan Melayu dan itu bukti kita terbuka,”