PRN Sabah: Presiden Harapan Rakyat beri bayangan bertanding semula di DUN Merotai

KOTA KINABALU - Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah memberi bayangan akan membuat kemunculan semula menerusi partinya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai itu berkata, Harapan Rakyat mengintai sekurang-kurangnya empat kerusi untuk dipertandingkan dalam PRN kali ini.

"Kami sasar mungkin sekitar tiga atau empat kerusi tetapi itu bergantung kepada rundingan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebab kita dalam gabungan ini hanya mahu menang, kita mahu capai apa yang rakyat harapkan.

"Setakat ini kita ada kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan manakala Merotai ialah bekas kerusi yang pernah saya sandang sebelum ini, jadi terpulang kepada Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor untuk mempertimbangkannya," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Katanya lagi, parti itu menyasarkan dua kerusi DUN tersebut berdasarkan sokongan rakyat di kawasan berkenaan yang beliau umpamakan sebagai kubu kuat Harapan Rakyat.

“Kita kena utamakan 'rumah kita' dahulu (tempat kita ada pengaruh). Sebab itu, saya sebut secara spesifik dua kerusi DUN yang kita intai untuk bertanding PRN nanti," katanya.

Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah itu tetap akur dengan sebarangan ketetapan GRS berhubung pengagihan kerusi kepada parti-parti komponennya.

"Semua orang pun boleh minta, tapi yang penting adakah mereka yang minta dan bertanding itu boleh menang atau sebaliknya? Kita nyatakan secara terbuka rela dan bersedia bertanding namun terpulang kepada pertimbangan dalam GRS," katanya.

Yun Fah berkata, berdasarkan pencapaian prestasi semasa ditunjukkan kerajaan GRS, beliau yakin rakyat akan memberikan peluang sekali lagi kerajaan itu untuk memerintah semula selepas PRN17 nanti.

"Kita masuk gelanggang PRN mestilah dalam keadaan bersiap sedia dan jangan terburu-buru. Ketua Menteri masih mempunyai masa yang secukupnya," katanya.

Untuk rekod, Harapan Rakyat antara lapan parti yang menyertai GRS selain Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Cinta Sabah (PCS) Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).