SHAH ALAM - Proses rayuan bagi bekas ahli UMNO untuk kembali kepada parti bukan soal tunduk tetapi tanda tanggungjawab kepada wadah yang pernah membesarkan nama dan perjuangan seseorang individu.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, parti juga tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pejuang lama atau baharu untuk kembali dengan syarat bersedia memperbetulkan pendirian demi kekuatan kolektif.
“UMNO adalah parti yang dibina atas dasar kesetiaan, disiplin dan prinsip perjuangan, bukan sekadar nama atau legasi. Sejarah UMNO sarat dengan pengorbanan para pejuang yang meletakkan parti di hadapan kepentingan peribadi.
“Maka setiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi UMNO, khususnya berkaitan disiplin bukan bersifat peribadi tetapi demi menjamin kestabilan dan kelangsungan parti,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Selasa menegaskan, beliau tidak akan merayu atas keputusan penggantungan keahlian parti selama enam tahun.
Ini kerana Ahli Parlimen Sembrong itu berkeyakinan dirinya tidak akan diadili sebaiknya, selain tidak mahu menggadaikan prinsip yang dipegang selama ini.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bagan Datuk berkata, kebangkitan parti bukan hanya faktor tokoh tetapi kerana semangat juang ahlinya yang tidak pernah mati.
Namun katanya, ada dalam kalangan pemimpin memilih menyatakan pendiriannya terhadap perjuangan parti, sekali gus menjadi isyarat telah memilih jalan yang berbeza.
“Kepimpinan yang masih setia mengakui bahawa UMNO kini berada dalam fasa pemulihan setelah ujian demi ujian yang telah dan sedang dijalani.
“Perjuangan ini memerlukan kesatuan, bukan kebisuan, memerlukan keberanian untuk kembali, bukan kenyataan separuh hati dari luar gelanggang,” katanya.
Beliau menambah, UMNO akan terus bergerak ke hadapan dengan membawa semangat perjuangan yang sama.
“Kita mesti matang dalam berpolitik. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai kita berbeza arah perjuangan.
“Yang ragu, kita doakan mereka kembali tersedar. Yang berpaling, kita doakan semoga menemui jalan yang benar,” katanya.